Sunday, December 2, 2012

KAJI SEMULA UNDANG-UNDANG KEBANKRAPAN





           
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan akan membuat peraturan baharu berkaitan undang-undang kebankrapan kerana undang-undang sedia ada dilihat terlalu ketat.
   
Beliau turut mengumumkan had pinjaman untuk peniaga kecil di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan dinaikkan kepada RM100,000 daripada RM50,000 sekarang.
   
Menyentuh peraturan baharu itu ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2012 semalam, Najib yang juga presiden Umno berkata: "Kerajaan akan mengkaji semula dan membuat peraturan baharu serta mencari jalan bagaimana melepaskan individu daripada kemelut kebankrapan.
   
"Tapi bukan semua kerana ada yang berhutang berjuta-juta. Yang mana boleh dan munasabah, kita akan bantu."
   
Najib turut menarik perhatian bahawa 120,000 rakyat Malaysia telah diisytihar muflis dan kebanyakan mereka tidak mendapat peluang kedua.

"Kalau diisytihar bankrap, kadang-kadang ia bukan salah kita, (kadang-kadang) kita jadi penjamin saja. Kasihan, tak semena-mena kena," kata Najib.
   
Mengenai pinjaman AIM, Najib berkata ia banyak dimanfaatkan golongan wanita.
   
"...dan terbukti mereka merupakan peminjam yang baik dan tekun (dalam mengusahakan perniagaan)," jelas beliau.
   
Antara perwakilan yang membangkitkan mengenai had pinjaman AIM ialah Pemangku Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Ramli Norani yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia.
   
Semasa membahaskan usul ekonomi pada perhimpunan agung itu, Ramli berkata:

"Umum mengetahui golongan wanita tu pandai meniaga, takkanlah pinjaman Amanah Ikhtiar tu masih RM50,000, naikkanlah ke RM100,000, barulah sedap orang Melayu nak meniaga." (Bernama)

No comments:

Post a Comment