Friday, December 7, 2012

KAUM CINA SUDAH MULA TERIMA LYNAS





TERIMA.....Ramai yang menentang pada awalnya terutama kaum bukan Melayu, kini dilihat mula berlembut.

KUANTAN: Ketika kebenaran diberi kepada projek nadir bumi oleh Lynas Advanced Materia Plant (LAMP) beroperasi di kawasan Perindustrian Gebeng, Pahang awal November, rata-rata masyarakat sebenarnya telah menerima kewujudan kilang itu.

Ramai yang menentang pada awalnya terutama kaum bukan Melayu, kini dilihat mula berlembut.

Hakikatnya, LAMP yang disahkan tidak melanggar mana-mana peraturan di dalam mahupun di luar negara sebelum ini, dibenarkan beroperasi pada 8 Nov selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh tiga penduduk Kuantan.

Menurut anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Datuk Chang Hong Seong, hanya segelintir sahaja dalam kalangan masyarakat Cina yang dilihat masih keliru dengan projek berkenaan akibat terpengaruh dengan dakyah pihak pembangkang.

“Majoriti masyarakat Cina tidak lagi menentang, namun mereka memilih untuk berdiam diri.

“Bagaimanapun ramai juga yang berharap agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memantau cara kerja dan operasi kilang terbabit,” katanya kepada Bernama di sini.

Mereka berharap jawatankuasa penjadi pemerhati supaya operasi mengikut kaedah yang betul dan selamat, pakar-pakar yang dipilih juga mestilah benar-benar berpengetahuan untuk mengendalikan sisa buangan kilang berkenaan.

“Sisa buangan kilang memproses nadir bumi itu mestilah dipindahkan ke lokasi lain yang jauh dari petempatan penduduk,” katanya.

Manipulasi politik

Pengerusi MCA Kuantan Datuk Ti Lian Ker berkata usaha badan-badan bukan kerajaan yang kebanyakannya bukan orang tempatan, selain manipulasi politik oleh parti pembangkang, dilihat sebagai sebab mengapa masyarakat Cina terpengaruh dengan fakta yang salah sebelum ini.

“Kini rakyat khususnya kaum Cina di sini, sudah mula akur dan yakin dengan ketetapan yang dibuat. Pembangkang diminta jangan terus mempolitikkan isu Lynas untuk menjatuhkan imej kerajaan semata-mata bagi mengaut undi,” katanya.

Berdasarkan maklum balas yang diterimanya, masyarakat kini semakin yakin bahawa projek nadir bumi itu selain tidak akan menjejaskan kesejahteraan penduduk, ia akan menjana ekonomi.

Masyarakat semakin sedar bahawa industri nadir bumi boleh menjadi sektor pembangunan baharu negara bagi melonjakkan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Kilang itu juga akan menjadi hab untuk aktiviti hiliran nadir bumi seperti televisyen, skrin komputer, telefon bimbit hinggalah kepada lampu yang menjimatkan tenaga, mesin imbasan magnetik dan juga komponen kenderaan,” katanya.

Alangkah ruginya Malaysia jika projek besar seperti ini terhenti kerana manipulasi politik semata-mata.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dalam reaksinya selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan itu berkata syarikat memproses nadir bumi itu perlu diberi peluang sebagai sebuah syarikat yang melabur dalam bidang yang penting bagi menjana ekonomi negara.

Peluang ekonomi

Beliau berkata Lynas adalah sebuah syarikat yang selain memberi pendapatan kepada ekonomi negara ia turut memberi peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk setempat dan negeri Pahang.

Berdasarkan fakta, projek itu telah menarik ramai pembeli dan juga rakan niaga termasuk satu dari Jerman yang menjanjikan pelaburan lebih RM1.5 bilion untuk menguruskan sebuah kilang yang akan memerlukan sekitar 1,200 pekerja.

Selain itu, syarikat-syarikat pembekal juga telah membina kilang mereka lebih dekat dengan tapak LAMP antaranya dua syarikat pembekal asid yang melaburkan RM300 juta dan menggaji sekitar 100 petugas.

Berikutan hasil bumi, minyak dan sumber lain yang semakin berkurangan, Malaysia sememangnya perlu meneroka ke dalam sektor ekonomi baharu.

Loji nadir bumi di Gebeng dijangka mampu memproses 22,000 tan nadir bumi setahun iaitu bersamaan satu perlima permintaan global seterusnya menjana pendapatan tahunan sebanyak RM4 bilion.

Pakar runding Dudley Kingsnorth of Industrial Minerals Co of Australia (IMCOA) menjangkakan permintaan untuk bahan nadir bumi akan mencecah 160,000 tan menjelang 2016 berbanding 105,000 tan pada 2011.

Sehingga kini, para pengeluar dari China telah memonopoli industri itu tetapi menjelang 2016, dijangkakan sekitar 60,000 tan bekalan nadir bumi dunia akan diperoleh daripada pengeluar di luar China termasuk Malaysia.

Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP ketika hadir pada taklimat untuk wakil-wakil rakyat berkenaan pembinaan kilang itu pada 2009, juga bersetuju dengan pembinaan kilang berkenaan.

Beliau telah pun mengulas dalam sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan besar dari luar negara hasil cadangan projek
ini.

Dengan bermulanya projek LAMP ini tanpa halangan lagi, Pahang kini boleh menantikan pulangan ekonomi yang besar dan manfaatnya akan dinikmati semua. (Bernama)

No comments:

Post a Comment