Friday 7 December 2012

KEDUDUKAN M’SIA DALAM CPI MENINGKAT






KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia yang meningkat ke tangga 54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun ini berbanding tangga ke-60 tahun lalu menunjukkan bahawa segala usaha dan pembaharuan yang dibuat kerajaan berkesan.

Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia Datuk Akhbar Satar berkata, kedudukan itu perlu dibanggakan kerana ia merupakan kali pertama Malaysia menunjukkan peningkatan dalam indeks tersebut.

“Selalunya kedudukan kita menurun, kedudukan yang dicapai kali ini dipengaruhi oleh pelbagai pembaharuan dan tindakan yang dibuat kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ada iltizam politik,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Akhbar yang juga bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Perlis dan Negeri Sembilan berkata penubuhan 14 buah mahkamah khas rasuah juga mempercepat penyelesaian sesuatu kes rasuah.

“Pelaburan dari negara luar akan bertambah kerana mereka akan melihat kepada CPI negara terbabit sebelum membuat pelaburan, usaha-usaha yang baik perlu diteruskan dan perlu kerja kuat untuk meningkatkan aktiviti pencegahan rasuah,” katanya.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata kejayaan itu menunjukkan tanda positif dan ia merupakan tapak yang baik untuk Malaysia terus memperbaiki kedudukan dalam CPI pada tahun-tahun akan datang.

“Kita di IIM sangat bangga kerana ia menunjukkan peningkatan, kalau trend ini berterusan dan tiada noktah saya jangka kedudukan akan menjadi lebih baik tahun depan.

“Ada yang kata mungkin perubahan ini disebabkan metodologi yang berbeza diguna pakai pada tahun ini, tetapi walau apa pun kayu ukuran yang diguna, bila ia menunjukkan penambahbaikan, kita harus bangga,” katanya.

Beliau berkata ikrar integriti korporat di mana syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah menandatangani ikrar tersebut secara sukarela bahawa mereka tidak akan mengambil rasuah ketika berurusan juga menggalakkan indeks tersebut meningkat.

“Sebanyak 150 lebih syarikat besar yang sudah menandatangan, IIM berusaha dengan GLC di negara ini supaya ia akan menjadi satu tadbir urus korporat yang baik,” katanya.

Beliau berkata selain itu, program Ketua Pegawai Integriti di mana pegawai akan diberi latihan selama enam bulan di Pusat Latihan SPRM akan ditempatkan di agensi yang mengambil bahagian bukan sahaja untuk memantau tugas audit dalam tetapi lebih daripada itu termasuk penilaian kakitangan.

Transparensi Antarabangsa Malaysia (Ti-M) semalam mengumumkan bahawa Malaysia meningkat ke tangga 54 dalam CPI tahun ini berbanding tangga ke-60 tahun lalu dan mendapat 49 dari 100 mata pada kaji selidik yang menilai tahap penerimaan rasuah sektor awam di kalangan 176 negara.

Malaysia juga berada di ranking ketiga di kalangan negara Asean di belakang Singapura yang memperoleh 87 mata diikuti Brunei Darussalam di tempat kedua dengan 55 mata. (Bernama)

No comments:

Post a Comment