Saturday 15 December 2012

KERAJAAN PANTAU 1AZAM





CENDERAHATI….MASIUNG menerima cenderahati daripada pihak penganjur.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

PEJABAT Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut akan memantau perkembangan peningkatan ekonomi yang disertai peserta Program 1 Azam yang dilaksanakan bagi memastikan setiap peserta miskin tegar itu dapat mengubah sosio ekonomi mereka mengikut perancangan kerajaan.

Wakil Rakyat Kuamut, Masiung Banah berkata, pejabat DUN Kuamut juga akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap bantuan peralatan Program 1 Azam yang disalurkan kerajaan digunakan sepenuhnya oleh penerima dalam mengembangkan bidang yang diceburi.

“Pemantauan yang dilakukan bukanlah untuk hendak menyusahkan peserta, tetapi apa yang kita mahu adalah supaya setiap rakyat yang terlibat dalam apa jua program kerajaan ini dapat mengubah corak kehidupan yang sebelum ini dikatakan susah kepada lebih selesa pada masa akan datang”, jelasnya.

“Kerajaan juga mahu setiap daripada  mereka yang terlibat dengan program 1 Azam ini akan menggunakan dengan sebaiknya peralatan yang disalurkan kerajaan bagi memastikan kehidupan mereka benar-benar berubah seperti yang dirancang”, katanya di sini.

Katanya, ia selaras harsrat kerajaan melalui transformasi yang dilaksanakan pada masa kini yang mahukan rakyat khususnya masyarakat luar bandar maju seiring pembangunan negara.

"Apa yang kita mahu sebenarnya adalah merealisasikan hasrat keikhlasan kerajaan yang mahu melihat setiap rakyat maju seiring dengan pembangunan negara dan bukannya terus dibelenggu dengan kemiskinan yang seolah-olah menjadi waris keluarga”, tambahnya.

Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Barangan Serahan Program 1 Azam Daerah Tongod di Dewan Kampung Tongodon, di Tongod. Turut hadir pada majlis, Urusetia Program 1 Azam, Mohd. Fakhri Abidin.
        
Masiung berkata, kerajaan melalui kementerian yang dilantik akan sentiasa membantu memberi pendedahan kepada masyarakat yang berminat menceburi sesuatu bidang khususnya dalam mengubah landskap sosio ekonomi keluarga.
       
Jelasnya, ia termasuk memberi pendedahan awal kepada masyarakat tentang kemahiran yang diceburi selain membangunkan minda dan sikap masyarakat agar mampu hidup lebih selesa.
        
Pada majlis menyaksikan seramai lebih 90-peserta 1 Azam terdiri golongan miskin tegar dan yang berdaftar dengan pangkalan data e-Kasih menerima peralatan membuat kuih tradisional dan makanan komersial serta peralatan refleksologi.

No comments:

Post a Comment