Wednesday 19 December 2012

KES BUNUH KARTINI DIJADUAL SEMULA 22 APRIL






KOTA KINABALU: Perbicaraan seorang inspektor polis yang didakwa membunuh ibu tunggal di Keningau tahun lepas telah dijadualkan semula pada 22-24-April tahun depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Steve Ritikos menetapkan tarikh itu pada Isnin semasa sebutan kes Ahmad Rizal Umar.
Beliau juga menetapkan 22 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan perubatan Ahmad Rizal dari sebuah hospital di Kuala Lumpur serta siasatan ke atas dakwaan orang ketiga yang terlibat dalam kes itu.

Menurut peguam Ahmad Rizal, Ram Singh, ketika dihubungi, pihak pembelaan telah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa forensik patologi Dr Jessie Hiu bersama-sama dengan dua pakar dari sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur telah bertemu dengan Ahmad Rizal di penjara untuk memeriksa kecederaan pada bahagian badannya dua bulan lalu.

Ahmad Rizal, 29, dituduh membunuh Kartini Borhan, 27, antara pukul 4 pagi dan 5 pagi pada 29 September 2011 di sebuah rumah di Taman Adika, Keningau.

Dia pada 25 Jun tahun ini meminta perbicaraan terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati apabila disabit kesalahan.

Perbicaraan sebelum ini dijadualkan didengar pada 7-11 Januari 2013.

Pada 15 Oktober tahun ini, pihak pendakwaan telah memberitahu Mahkamah Tinggi, Kakak Ahmad Rizal telah menulis surat kepada mereka menyatakan abangnya telah diberitahu oleh seseorang di dalam penjara bahawa orang lain telah mengaku melakukan kesalahan itu.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan telah mencatatkan kenyataan orang terbabit yang memberi maklumat kepada Ahmad Rizal dan pakar patologi forensik juga akan mendapatkan seorang lagi pakar untuk memeriksa luka tikaman di bahagian belakang Ahmad Rizal. (JAM-DE)

(NOTA : Bagi pembaca baru Sabahkini.net, anda boleh mengikuti Kes Bunuh Kartini dengan menaip perkataan 'Kartini' atau 'Ahmad Rizal' di ruangan 'Cari/Search' Sabahkini.net.)

No comments:

Post a Comment