Sunday 16 December 2012

KETUA KAMPUNG DAN JKKK PENGKHIANAT?





LAPTOP......Kelihatan Roger (kiri) menyerahkan sebuah Laptop kepada Raymond Emus Gintod.

Oleh: JACKSON LU

TENOM: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Maju Sabah (SAPP) Roger Stimin menggesa agensi-agensi kerajaan khususnya pihak yang bertanggung jawab mengenai keselamatan di kawasan akar umbi; seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong, (JKKK), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) dan Jawatankuasa Rukun Tetangga agar meningkatkan pengawasan keselamatan di setiap zon mereka.

Beliau berkata, agensi-agensi kerajaan boleh bertindak untuk membantu mengawal keselamatan dengan memberikan maklumat yang tepat kepada Pasukan Keselamatan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya tindakan pantas dapat diambil untuk membanteras kegiatan mereka.

“Agensi seperti JKKK, JKDB dan Rukun Tetangga sepatutnya mempunyai rekod simpanan berhubung bancian jumlah penduduk tempatan, warga asing yang bekerja di situ di mana mereka sekurang-kurangnya memberi laporan tiga bulan sekali kepada pihak berkuasa atau lebih kerap dari itu jika keadaan di situ ada yang meragukan.

“Inilah menyebabkan banyak perkara jenayah mudah berlaku kerana kawalan keselamatan terlalu longgar...(manakala) bagi pelaku jenayah pula mengambil kesempatan dari kelonggaran itu sepertimana berlaku dengan kes pembunuhan kejam Norikoh yang berlaku di Kota Marudu pada baru-baru ini,” kata beliau ketika menyampaikan sumbangan Laptop kepada Pengerusi Rukun Tetangga Taman Mantailang Raymond Emus Gintod pada Khamis.

Roger yang juga merupakan Naib Ketua CLC SAPP DUN Melalap berkata, beliau tidak bermaksud untuk menuding jari menyalahkan sesiapa terutamanya pihak PDRM dalam aspek pengawalan keselamatan yang didakwanya terlalu longgar.

Namun apa yang dimaksudkan beliau, bahawa ada pihak lain dalam agensi kerajaan yang gagal berfungsi dengan baik untuk memberi 'input' kepada PDRM untuk membanteraskannya kerana permasalahan segala galanya berlaku bermula dipihak akar umbi.

“Saban hari kita membaca dalam media cetak mahu pun media elektronik melaporkan kehadiran warga asing di setiap pelusuk pekan dan bandar malah ada yang menyatakan ada di antaranya memiliki MyKad beralamat di kawasan tertentu.

“(anehnya) Ketua Kampung atau JKKK bagi kampung berkenaan tidak pernah melaporkannya kepada pihak berkuasa malahan mereka ini (warga asing) dibenarkan menyewa premis kedai mereka untuk menjalankan perniagaan,” tegas beliau.

Dalam konteks itu, tegas Roger, agensi kerajaan seperti JKKK, Ketua Kampung atau JKDB harus memastikan bahawa mereka tidak terlepas pandang memberi sokongan kepada warga asing yang menyelinap masuk dan mengaku sebagai penduduk di perkampungan mereka kerana disebabkan kelalaian mereka; maka pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menganggap itu adalah sah.

Sehubungan itu, beliau sependapat dengan kenyataan Adun Melalap yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Radin Malleh pada Sabtu yang dipetik sebagai berkata bahawa Radin menggesa pihak tertentu agar berhati-hati yang mengendalikan pendaftaran sijil kelahiran yang lewat khususnya melalui perkhidmatan bergerak supaya anak-anak PATI tidak tersilap didaftarkan.

No comments:

Post a Comment