Oleh : SHAIMON S JUMADI
UCAPAN Presiden UMNO, Datuk
Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO pada
Khamis lepas disifatkan sebagai penuh wibawa, bernas dan prihatin terhadap
semua kaum di negara ini.
Pengerusi Eksukutif
Pertubuhan Peniaga-Peniaga dan Usahawan Negeri Sabah (PPUS), Abidin Syukor,
menyifatkan Najib sebagai pemimpin berjiwa rakyat di celah kemelut rasis yang
cuba dimainkan pembangkang; tetapi teguh dengan pendirian memartabatkan Islam
sebagai agama rasmi dan dalam masa yang sama tidak meminggirkan kepentingan
kaum lain yang menganut pelbagai agama.
"Inilah pemimpin yang
kita inginkan kerana benar-benar bertanggungjawab dalam memastikan rakyat terus
terbela. Setiap perincian dalam ucapan beliau semuanya menjurus kepada
kepentingan seluruh rakyat," katanya kepada Sabahkini.net semasa sidang
akhbar di pejabatnya, kelmarin.
Sehubungan itu, Abidin
selaku Pengerusi Persatuan Pengimport dan Pengeksport Sarang Burung Walit Sabah
(PESAWAS) mengajak rakyat terutama di negeri ini mempertahankan kerajaan sedia
ada demi kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik.
Beliau tidak menafikan
keupayaan pihak pembangkang, tetapi hakikatnya jelas terbukti bahawa mereka
tidak mampu apatah lagi ingin membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU)
Ke-13 nanti.
Beliau menyifatkan sokongan
kepada pembangkang seolah-olah memperjudikan masa hadapan kerana sesungguhnya
tidak disangkal lagi sifat pembangkang yang didakwa cuba bersekongkol dengan
pihak luar, sekali gus memberi persepsi tidak baik kepada negara yang berdaulat
ini.
"Kita tidak mahu
Malaysia ditadbir pembangkang yang halatujunya tidak jelas, selain kepimpinan
mereka nampak macam tidak sekata terutama usaha segelintir mereka membuka pintu
pihak luar mencampuri urusan dalam negara ini.
"Ini kita tidak dapat
terima sama sekali memandangkan ia tidak selari dengan kehendak dan aspirasi
rakyat negara ini. Jika dibandingkan dengan pemerintahan BN semenjak lebih 50
tahun telah membawa banyak perubahan; bukan sahaja dari segi pembangunan,
tetapi paling penting jalinan muhibbah di kalangan berbilang bangsa dan anutan
agama terus bertambah kukuh," tambahnya.
Justeru itu, beliau berharap
pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) menghargai sokongan padu rakyat dengan
tidak hanya tertumpu pada pemimpinnya dalam soal mendapatkan pandangan tetapi
perlu juga mengambil kira pandangan masyarakat di peringkat akar umbi.
Sebagai contoh, katanya, pemimpinan
parti boleh mendapatkan pandangan dari kalangan peniaga dan pelajar institusi
pengajian tinggi kerana golongan inilah akhirnya membantu BN di saat-saat
akhir.
"Saya bukan berniat
untuk mengajar tetapi hakikatnya benar belaka; yakni golongan ini tidak harus
dipinggirkan. Panggilah mereka kerana siapa tahu mampu memberi input berguna
dalam usaha kerajaan memperkukuhkan kedudukannya.
"Yang kita takut
sekiranya golongan berkenaan diabaikan, memungkinkan mereka terpengaruh dengan
dakyah dan tohmahan pembangkang yang sekarang ini terus-terusan memburukkan
kerajaan demi kepentingan politik sempit," ujarnya.
Dalam konteks itu, beliau
turut mengharapkan pemimpin Umno khususnya melipatgandakan usaha untuk turun
padang dalam usaha mengenal pasti sebarang permasalahan mahu pun keperluan
rakyat di peringkat akar umbi.
Abidin mencadangkan agar
dibentuk satu Jawatankuasa Pemantau sama ada di kawasan perumahan, taman-taman
atau kampung-kampung bagi membolehkan pemimpin atasan seperti wakil rakyat akan
dapat mengetahui lebih mendalam setiap permasalahan rakyat.
"Mereka yang mengetuai
jawatankuasa ini bukan di kalangan orang politik atau mereka yang berjawatan,
tetapi kita mahu setiap penduduk dijemput sama supaya semua pihak mendapat
manfaatnya," katanya.
No comments:
Post a Comment