Saturday 22 December 2012

KKLW CONTENG ARANG KE MUKA BN?



           

Oleh: SAIMON S JUMADI

KEBANYAKAN projek pembinaan rumah di bawah Program  Bantuan   Rakyat (PBR) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina di permukaan air di beberapa daerah  di Sabah; terutama diselia oleh 'Enjin Air' FELCRA seperti di Sandakan dan Semporna; telah menconteng arang ke muka Barisan Nasional.

Beberapa unit daripadanya telah roboh kerana binaannya tidak kukuh, malah berlaku penyelewengan projek dan menggunakan bahan yang tidak menepati spesifikasi kontrak; malah majoritinya menggunakan 9 batang tiang kayu lampung dan belian yang bersaiz 3 inci X 3 inci.

Dalam tinjauan Sabahkini.Net ke Semporna dan Sandakan; reka bentuk rumah-rumah yang dibina di atas permukaan air hanya cantik dilihat tetapi dibuat terlalu cincai dan gagal mematuhi spesifikasi kontrak yang dipecah kecilkan kepada beberapa kontraktor yang tidak berpengalaman.

Senario ini meletakkan nyawa penghuni rumah berkenaan dalam risiko kehilangan jiwa dan kemalangan diri. Walaupun setakat ini belum ada kematian dilaporkan, namun Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) semakin gemar bermain 'Hunger Game' dengan menggadaikan nyawa penerima rumah berkenaan.

Kedudukkan rumah-rumah tersebut juga agak meragukan kerana jika dilihat dengan  mata kasar, struktur  rumah berkenaan tidak selamat untuk didiami manusia dan lebih sesuai sebagai kandang ayam kerana mempunyai jangka hayat dua tahun sahaja.

Mengikut rekod, kejadian rumah PPRT berlaku pada April  tahun lepas di Kampung Air Semporna. Dalam kejadian berkenaan, sebuah rumah di bawah program PBR runtuh menyembah bumi, namun KKLW mempertahankan FELCRA.

Kejadian berikutnya agak melucukan kerana KKLW menafikan rumah PBR di Menampilik Semporna runtuh kerana kecuaian mereka sebaliknya disebabkan oleh ribut; sedangkan rumah usang di sekelilingnya tidak terjejas.
Mungkin ada benarnya kata Pengerusi JKKK Kampung Air Sandakan, Jafar Mustafah bahawa FELCRA tidak wajar  terlibat dalam aspek kejuruteraan atau binaan, malah lebih baik menumpukan sepenuhnya dalam bidang pertanian sahaja.

Semasa tragedi berlaku di Sandakan, Sabahkini.Net telah menemui beberapa penduduk PPRT di Kampung Air Sandakan; hampir 80 peratus penduduk mendakwa mereka amat khuatir mendiami rumah-rumah yang duduki sekarang kerana bimbang  akan menerima nasib yang sama seperti yang dialami oleh mangsa, Rajimah Latif dan 13 ahli keluarganya.

Dari awal-awal lagi, ADUN Karamunting yang juga  Menteri Belia dan Sukan Negeri sudah memberi arahan kepada pihak FELCRA agar mengarahkan kontraktor yang bertanggungjawab dalam pembinaan sebanyak 18 buah rumah  PPRT di kawasan Kampung Air, Sandakan supaya memantau dan membuat pemeriksaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Namun disebabkan kelalaian, ego dan  sikap sambil lewa pihak FELCRA yang enggan menerima nasihat dan arahan daripada ADUN berkenaan; maka kejadian memalukan ini telah menghakis keyakinan para pengundi terhadap keikhlasan kerajaan BN.

Dalam hal ini, kenapa FELCRA tidak mengikut jejak langkah FELDA membina rumah PPRT daripada konkrit di atas darat seperti di Kampung Nala, Tungku yang bukan sahaja memberi keselesaan kepada penghuni, malah menambah keyakinan mereka terhadap kerajaan BN.

Persoalannya, apakah KKLW menggunakan FELCRA untuk melakukan sabotaj undi terhadap BN semata-mata mahu membalas dendam terhadap Kerajaan Negeri Sabah kerana ada pihak oportunis masih gagal melakukan KUDITA?

No comments:

Post a Comment