Sunday 16 December 2012

KKLW GAGAL, 2 TAHUN MANDI AIR MINERAL?






Oleh : MUTALIB M.D

WALAUPUN Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk membina projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Tenom, namun penduduk kampung Batu-Batu, Saga dan sekitarnya belum mendapat bekalan air paip dan ada yang terpaksa menggunakan air mineral yang dibeli di kedai sebagai air untuk mandi dan minuman.

Seorang penduduk Batu-Batu, Tenom, Arajai Mantias, 76, mengakui beliau terpaksa menggunakan dua botol air mineral setiap hari untuk mandi kerana tidak kuat berjalan ke sungai yang terletak dua kilometer dari rumahnya.

"Jabatan Air ada pasang meter, tetapi hanya angin sahaja yang keluar. Kami tidak pernah dapat air paip sejak dua tahun lalu dan mereka janji akan dapat air jika dua projek baru ini siap," ujar Arajai yang kesal kerana air paip hanya keluar dua bulan sahaja pada 2009 sebelum kering kontang sehingga kini.

Kata Arajai, layanan buruk Kerajaan Barisan Nasional terhadap Kaum Murut (Timugon) tidak sepatutnya berlaku kerana kesemua wakil rakyat Tenom berketurunan Murut.

"Saya tidak pernah mangkir daripada mengundi setiap pilihanraya umum dari USNO hinggalah sekarang walaupun mendapat layanan buruk dan janji palsu kerajaan BN. Tetapi saya tidak tahulah macam mana dengan fikiran 12 orang anak saya. Mungkinkah mereka akan terus mengundi jika menerima layanan buruk seperti ini?," kata Arajai dengan nada teramat sedih.

Arajai menekankan, para penduduk kampung sudah putus asa untuk mendapat bekalan air bersih kerana projek demi projek bekalan air yang dilaksanakan di Tenom hanya menguntungkan kontraktor dan rakyat terus menderita.



LORI.....Memandangkan lori Jabatan Air ini tidak mampu membekalkan air kepada semua kampung, Jabatan Air terpaksa membazirkan wang menyewa lori tangki sedangkan masalah berkenaan boleh diselesaikan dengan mudah jika semua pihak menjalankan tugas secara profesional.



Tidak cukup dengan itu, bekalan air gantian melalui lori tangki yang disediakan Jabatan Air dikhuatiri tercemar dan tidak bersih kerana beliau sering mengalami alahan atau gatal seluruh badan menyebabkan beliau terpaksa menggunakan air mineral untuk mandi atau membilas badan ala kadar.

"Mungkin nasib kerbau lebih baik daripada kami," ujar Arajai yang kesal kerana Jabatan Air gagal mencari punca kenapa bekalan air paip terhenti di kampung Batu-Batu setelah projek menaiktaraf jalan disiapkan.

Sehubungan itu, Arajai menggesa Kerajaan Barisan Nasional menyelesaikan isu ini sebelum pilihanraya umum kerana beliau bimbang rakyat akan menolak BN jika isu bekalan air ini berpanjangan; apatah lagi dua projek bekalan air yang dilaksanakan sudah terlewat daripada jadual.

"Datuk Seri Najib bagus, tetapi tidak tahulah orang di bawah," kata Arajai yang mengakui Wakil Rakyat BN (Datuk Raime Unggi, Datuk Radin Malleh dan Datuk Rubin Balang) gagal menunaikan janji kerana masalah birokrasi Jabatan Air dan KKLW.




Dalam pada itu, anak Arajai, Mimbo, 32, (gambar) amat kesal kerana Jabatan Air menguatkuasa Hukum Rimba iaitu sesiapa yang tidak memasang meter tidak akan dibekalkan air melalui lori tangki.

"Hakikatnya kami ada meter air, tetapi yang keluar hanya 'kentut air' iaitu angin. Kadang-kadang adalah satu dua titik tetapi setiap tiga bulan kami bayar bil lebih RM300. Saya pun bingung kerana mereka bekal air dengan lori tangki; tidak tahulah air dari mana, bersihkah tidak, tetapi kami bayar bil mengikut bacaan pada meter," kata Mimbo yang menggesa agar Menteri KKLW, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turun padang memantau projek KKLW yang menyusahkan rakyat jelata.

Tegas Mimbo, sebagai generasi muda yang dilahirkan di Kampung Batu-Batu, beliau tidak boleh memberi jaminan akan memberikan undi kepada BN jika keluarganya dilayan seperti warga asing; sedangkan mereka adalan pembayar cukai dan pemilih berdaftar.

"Ke mana ratusan juta dicurahkan untuk projek BALB di Tenom jika masalah kampung kami dan beberapa kampung tidak selesai? Sepatutnya Shafie Apdal malu kerana Perdana Menteri terpaksa mengumumkan pinjaman lebih RM200 juta kepada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah bekalan air di Tenom yang semakin meruncing," ujar Mimbo yang sedih melihat penderitaan penduduk kampung Batu-Batu dan sekitarnya sejak dua tahun lalu.

Untuk rekod, sebelum ini Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah, Citra Masadi telah beberapa kali membuat teguran dan menimbulkan kepincangan isu projek bekalan air di seluruh Sabah, termasuk Tenom; namun agak menghairankan tiada sebarang tindakan diambil Kerajaan Persekutuan.

"Mungkin dakwaan Shafie Apdal bahawa beliau adalah 'Golden Eyed Boy' Perdana Menteri adalah benar. Jika tidak kenapa Perdana Menteri meluluskan pinjaman RM235 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam lawatannya sedikit masa lalu?" tanya Citra yang membayangkan Datuk Seri Najib cuba menutup kepincangan Projek Top-Up NKRA KKLW yang gagal secara total.

"Ada projek tetapi hanya menguntungkan kroni, bukan projek bekalan air luar bandar tetapi projek memasang paip yang hanya mengeluarkan angin dan menyumbat tembolok kroninya seperti Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin dan Presiden KDM 1Malaysia, Datuk Peter Anthony," tegas Citra yang menamakan dua tokoh ini sebagai petualang dan jalang di dalam Barisan Nasional.

Kata Citra, hasil siasatan AMK, Shafie telah menyalahguna kuasa dan memperdaya Kementerian Kewangan agar meluluskan dua kontrak baru Skim Bekalan Air Luar Bandar (BALB) masing-masing bagi Projek BALB Sistem Retikulasi Tahun 2011/2012 Negeri Sabah Zon 16B, Tenom, Sabah (KKLW.T.98/2011) yang dilaksanakan Poteck Enterprise Sdn Bhd (Milik Chin Su Phin) dengan kos RM10,422,536.00 dan Projek Sistem Bekalan Air Tenom, Sabah, Fasa 2, (KKLW.T .188/2011 yang dilaksanakan oleh Asli Jati Engineering Sdn.Bhd. (Milik Peter Anthony) dengan kos RM28,888,888.00.

Mengikut maklumat di papantanda projek yang masih terpacak dan menjadi gurauan penduduk Tenom sebagai 'JANJI SAPI' (Janji Shafie), kata Citra, kedua-dua projek berkenaan telah terlewat dariada jadual dan tidak mungkin dapat disiapkan menjelang PRU-13.

"Inilah hukum karma yang bakal diterima BN kerana gemar menabur janji tetapi 'Janji Sapi' tidak membawa Sabah ke mana-mana dan bercanggah dengan Janji Ditepati yang dipacu Najib selama ini," kata Citra yang mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi berhubung dua projek penting di samping banyak projek KKLW yang disifatkan sebagai projek 'Menternak Buaya Darat'.




Dalam pada itu, Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan Tenom mengalami masalah bekalan air yang serius sekalipun loji yang sedia ada mampu membekalkan air bersih untuk tiga puluh tahun akan datang.

"Bekalan air kita cukup tetapi tidak dapat dibekalkan kerana masalah paip dan ketidak cekapan kontraktor. Lagipun semua projek diberi terus kepada kontraktor tanpa dimaklumkan atau melalui Kerajaan Negeri dan di luar pengetahuan Ahli Parlimen. Bila ada masalah seperti sekarang, barulah kami terlibat," kata Raime yang menggesa agar KKLW menyelesaikan masalah ini sebelum PRU-13.

No comments:

Post a Comment