Saturday, December 8, 2012

LAGI AHLI UPKO KELUAR PARTI





Oleh : WILLIE JUDE JUNAIDI

KOTA KINABALU: Setiausaha Exco, Pergerakan Komulakan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut (UPKO), Mcmanus Sing mengumumkan keluar daripada UPKO serta meletakkan jawatannya dalam parti berkenaan mulai kelmarin.

Mcmanus berkata, beliau membuat keputusan itu selepas hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap keikhlasan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan isu-isu penting yang berkaitan dengan keselamatan, kedaulatan dan maruah negeri Sabah.

"Kita memahami perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan sosial boleh dikompromi kerana ini melibatkan pengurusan dan perolehan belanjawan walaupun hakikatnya negeri ini (Sabah) kaya dengan sumber asli, namun perkara yang berkaitan dengan keselamatan, kedaulatan dan maruah rakyat sejati Sabah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

"Mana mungkin dalam sesaat kita boleh menafikan hal ini dan membiarkannya apabila rakyat asing dengan sewenang-wenangnya boleh menjadi warganegara dan yang lebih menyedihkan apabila kita mengetahui bahawa mereka ini dibantu Kerajaan untuk menjadi warganegara dalam sekelip mata," katanya ketika ditemui.

Mcmanus berkata, walaupun Kerajaan telah mengambil langkah menubuhkan Suruhanjaya Di Raja (RCI) untuk menyiasat perkara itu, namun apa yang diharap rakyat Sabah daripada suruhanjaya berkenaan semakin pudar malahan semakin menimbulkan persoalan.

"Rakyat Sabah mengharapkan siasatan sepenuhnya terhadap perkara ini namun keinginan mereka untuk mengetahui dalang di sebalik pengkhianatan ini sesuatu yang mustahil kerana ini tidak termasuk dalam terma siasatan.
"Dalam hal ini, pendekatan mereka lebih kepada tidak mahu mengetahui siapa dalangnya daripada cuba merungkai segala bukti untuk memberi keadilan kepada rakyat Sabah," jelasnya.

Tambah beliau, perkara asas yang perlu dilakukan adalah untuk tidak mensekutukan diri dengan pihak yang bukan sahaja tidak mahu menyelesaikan hal ini namun sebenarnya juga adalah dalang di sebaliknya.

Katanya, beliau keputusan itu kerana situasi tidak lagi berpihak kepada rakyat di negeri ini dan satu anjakan perubahan perlu dilakukan demi kepentingan generasi kini dan generasi akan datang.

"Walaupun berat hati meninggalkan UPKO kerana ia adalah parti pertama yang saya sertai dan mempunyai banyak kenangan dengan rakan-rakan seperjuangan, terutamanya mereka yang bersama-sama saya mengasaskan pergerakan komulakan UPKO pada tahun 2005 lalu, namun saya tegaskan bahawa kita memerlukan perubahan ini demi masa depan dan hari esok yang lebih baik," katanya.

Tambahnya, setakat ini beliau masih belum menyertai mana-mana parti politik tetapi tidak menolak kemungkinan akan menyertai salah satu parti dalam Pakatan Rakyat untuk meneruskan perjuangan politiknya.

Ketika ditanya jika ada ahli lain dalam Pergerakan Komulakan UPKO yang akan menyertainya keluar parti, Mcmanus berkata kebanyakan rakan-rakannya dalam pergerakan itu juga mempunyai sentimen dan kesedaran sama dan tidak menolak kemungkinan beberapa orang lagi berbuat demikian.

"Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku namun itu semua terpulang kepada mereka. Saya tidak pernah menyimpan sebarang dendam terhadap UPKO selama ini dan saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam upko dengan kerjasama yang diberikan selama ini...selamat maju jaya kepada mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment