Tuesday 4 December 2012

MAJLIS KHATAN RAMAI-RAMAI TANDA MUAFAKAT





SUMBANGAN.....Nasrun menyampaikan baju sumbangan beliau kepada Naib Presiden Gabungan Belia Silam, Khalid Ag.Sulaiman sambil diperhatikan Iwan (kiri sekali) dan Jamil (tengah).
Oleh : RIDZAL ABDULLAH

LAHAD DATU : Majlis berkhatan beramai-ramai merupakan salah satu daripada kekaya-an dalam tradisi masyarakat tempatan yang harus dikekalkan. Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata detik bersejarah berkenaan merupakan simbolik bagi setiap kanak-kanak menuju ke alam dewasa.

“Selain daripada tuntutan agama, berkhatan juga adalah tanda seorang kanak-kanak masuk ke fasa alam dewasa,” katanya pada majlis khatan ramai-ramai di perkarangan Dewan Arena Belia Lahad Datu, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, majlis yang dilakukan secara beramai-ramai itu mempunyai banyak kebaikan bagi kanak-kanak mahupun masyarakat sekeliling.

“Tali silaturahim dapat dirapatkan melalui program yang mengimarahkan (meramaikan) masjid seperti ini,” jelasnya.

Hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak sebagai contoh dapat dieratkan melalui majlis berkenaan yang merupakan detik bersejarah dalam kehidupan bagi kedua-dua pihak.

Pada majlis berkenaan, seramai 50 kanak-kanak daripada sekitar daerah dikhatankan secara beramai-ramai dengan bantuan daripada wakil petugas Jabatan Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu.





Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) cawangan Lahad Datu, Jamil Jilap ketika berucap di majlis itu berkata, pihaknya akan sentiasa memberi ruang dan peluang kepada persatuan-persatuan belia yang berdaftar di bawah kementerian itu untuk mengadakan pelbagai aktiviti seumpama itu.

“Kami dipihak kementerian juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Nasrun kerana memberi sokongan penuh dan mendermakan sejumlah wang bagi menanggung keseluruhan kos bagi menjayakan aktiviti berkhatan beramai-ramai ini,” katanya.

Program bermula jam 7 pagi di mana kanak-kanak dikumpul bersama ibu-bapa penjaga mereka dan majlis doa selamat kemudiannya dimandikan secara beramai-ramai dan acara kemuncak adalah berkhatan bergilir-gilir.

Program yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Belia Kampung Betik dengan kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) cawangan Lahad Datu serta Gabungan Belia Silam.

Turut hadir, Naib Presiden Gabungan Belia Silam, Khalid Ag.Sulaiman, Pengerusi Persatuan Belia Betik, Irwan Iskandar dan Setiausaha Kerja Umno Silam, Jaliha Iskandar.

No comments:

Post a Comment