Sunday 23 December 2012

MAKLUMAT BANTU POLIS BANTERAS JUDI






SERBU....Beberapa pegawai D7 Negeri menyerbu dua buah pusat judi siber di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya, Kuching semalam.

KUCHING: Orang ramai memainkan peranan penting dalam membanteras aktiviti perjudian atas talian dengan segera menyalurkan maklumat mengenai pusat judi siber di kawasan masing-masing kepada polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Zulkifli Hassan berkata, walaupun polis mempunyai rangkaian untuk mengesan premis, orang ramai juga boleh membantu sekiranya mengetahui operasi pusat judi siber di kawasan perumahan atau pusat perniagaan.

“Meskipun perjudian atas talian di negeri ini masih terkawal, polis akan terus memantau situasi ini untuk memastikan aktiviti haram ini tidak terus menular.

“Kami mengalukan maklumat orang ramai jika mereka mengetahui mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Zulkifli menjelaskan, Unit Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) telah menjalankan serbuan ke atas beberapa pusat judi siber dalam tempoh tiga tahun lepas di Sibu, Bintulu, Miri, Kuching, Serian dan Kota Samarahan.

Beliau menambah, dalam operasi yang dijalankan pada 19 Disember lalu, sebanyak 78 komputer dirampas dan 30 ditangkap di bawah Seksyen 4B (1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Sementara itu, dua buah pusat judi siber diserbu polis di sini semalam yang beroperasi di lot perniagaan di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya. (UB)

No comments:

Post a Comment