Saturday 1 December 2012

MELAYU BUKAN ANAK NEGERI SABAH?






Saudara Pengarang,

20 TAHUN yang lepas kebanyakan Kaum Brunei, Kedayan dan penganut agama Islam suka merujuk diri mereka sebagai 'Melayu' atas beberapa sebab; terutama berdasarkan tafsiran 'Melayu' di dalam Perlembagaan Persekutuan, wwalaupun pada dasarnya tersasar daripada tafsiran rakyat Sabah.

Suku kaum Brunei (Warganegara Malaysia) dan suku kaum Kedayan lebih selesa merujuk diri mereka sebagai 'Orang Melayu' atas dasar suku kaum Brunei dan Kedayan kurang dikenali di Sabah.

Pada masa yang sama, secara kebetulan mereka beragama Islam dan dari segi sejarah, mereka juga menggunakan bahasa Melayu yang hampir serupa dengan bahasa Melayu yang digunakan di nusantara ini.

Begitu juga dengan kaum-kaum lain seperti Kadazan, Dusun, Murut yang kebanyakannya mereka tidak beragama Islam. Apabila mereka menganut agama Islam, mereka lebih selesa mengaku sebagai 'Melayu' atas dasar yang mereka sudah Islam dan berbeza agama dengan majoriti agama dari suku kaum mereka.

Selain faktor-faktor di atas, borang-borang rasmi kerajaan, sekolah-sekolah dan syarikat swasta tidak menyebut suku kaum Brunei dan Kedayan dalam pilihan suku kaum.

Bagi mengelakkan dimasukkan ke dalam kategori 'Lain-lain', maka mereka terpaksa memilih suku kaum yang terdekat iaitu 'Melayu'. Saya masih ingat beberapa tahun lalu semasa mengisi borang laporan di Balai Polis, suku kaum Brunei dan Kedayan tidak ada dalam senarai suku kaum, tetapi suku kaum Bugis dan suku kaum dari negara Filipina ada dalam senarai pilihan suku kaum.

Begitu juga dengan pembelian tanah berstatus 'Native Title' (NT) hanya dibenarkan bagi pihak yang mana ibu dan bapa mereka mesti berasal dari suku kaum Anak Negeri Sabah, tetapi 'Melayu' tidak diiktirafkan sebagai 'Anak Negeri Sabah'.

Oleh itu, bagi rakyat Sabah yang sebelum ini menggunakan kaum 'Melayu' sebagai suku kaum wajar memperbetulkan keadaan ini dengan mendapatkan surat pengesahan rasmi dari Mahkamah Anak Negeri dan Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Manakala bagi jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kita berharap agar lebih prihatin untuk menerangkan implikasi kesalahan penggunaan suku kaum dalam mana-mana borang rasmi kerajaan.

Mereka yang terlibat seharusnya lebih pro-aktif bagi menyediakan borang agar suku kaum Anak Negeri Sabah seharusnya diasingkan dengan suku kaum lain yang ada di Malaysia bagi mengelakkan dari sebarang masalah pada masa hadapan dan ini akan memudahkan bagi semua pihak.

Salam Hormat,

NOOR HALIM ZAINI

No comments:

Post a Comment