Monday 31 December 2012

MENCARI 'PEWARIS NABI' DI HATI SUHAILI?




CACAT......Bari sedang menunjukkan kecacatan yang dialami isterinya akibat kebakaran rumah mereka berlatar belakang tiang rumah mereka yang belum dibina kerana tidak mampu.

Oleh : MUTALIB M.D

HASRAT ADUN Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said mencontohi kepimpinan Khulafa Arrasyidin mungkin hanya mimpi di siang hari kerana bukan sahaja tidak mempedulikan penyebaran syiar Islam; malah mengabaikan kebajikan para pengundinya.

Kesengsaraan yang dideritai mangsa kebakaran tidak berjaya  menjejak sifat mulia 'Pewaris Nabi' di hati Suhaili yang menjadikan politik sebagai 'Kitab Suci'.

Mangsa kebakaran pada 2005, Bari Bin Musad, 31, yang menetap di Kampung Semuning, Tambisan masih menunggu janji demi janji Suhaili untuk mendapatkan sebuah rumah PPRT sehingga terpaksa menumpang di pondok mertua yang lebih daif daripada kandang ayam.

Setiap tahun dan menjelangnya kempen pilihanraya, Bari hanya menunggu janji Suhaili menjadi realiti, namun kini sudah hampir tujuh tahun, janji Suhaili semakin palsu, termasuklah tercicir daripada mendapat sebuah rumah PPRT Felda di Kampung Nala yang dilancarkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Saya tidak tahu lagi ke mana mau mengadu dan pasrah nasib saya kepada Allah Subhanawatalla. Begini malang nasib saya, tiada yang mahu menghulur bantuan atau belas ihsan," kata Bari yang sedih dengan nasib malang yang menimpa keluarganya.

Menurut Bari, sejak 20005, beliau menaruh harapan yang tinggi agar Suhaili dan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi datang membantu; namun harapannya punah kerana bukan sahaja tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada Adun dan Ahli Parlimen; malah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) juga menafikan hak mereka untuk mendapatkan bantuan peralatan rumah setelah rumah mereka hangus terbakar.

"Saya tidak tahu di mana lagi mahu mengadu jika semua pemimpin UMNO dan BN membelakangkan saya sekeluarga," ujar Bari yang cuba menghubungi Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, tetapi sering dihalang oleh para pegawainya.

Kata Bari, beliau masih mengharapkan belas ihsan Tun Juhar kerana berasal dari Kampung Tambisan; apatah lagi dengan kedudukannya sebagai TYT sekarang.

"Saya tidak tahu kenapa mereka tidak langsung mempedulikan saya. Apa salah dan dosa saya sehingga anak-anak saya jadi mangsa," ujar Bari yang sebak kerana mengenangkan kematian dua orang anaknya, Mohd Azril, 9 dan Mohd Azfarhan,5 dalam tragedi malang berkenaan.




 HARAPAN......Bari bersama anak dan isterinya di tapak rumah impian mereka.




EHSAN.......Agak ganjil jika Suhaili tidak mempunyai belas ehsan melihat penderitaan yang dialami Mohd Azlim akibat kebakaran berkenaan.



JATI......Bari menunjukkan MyKadnya membuktikan beliau bukan PATI tetapi Anak Jati.



DAIF.....Bari terpaksa menumpang di pondok mertuanya yang semakin uzur.


Tegas Bari, bukan sahaja beliau tidak mendapat sebarang bantuan daripada JPKA, malah isterinya, Sulbiah Bte Mohd Salleh, 28, yang terbakar hampir 60 peratus, turut tidak mendapat sebarang bantuan.

Dalam keadaan cacat, isterinya terpaksa menjaga lima orang anak mereka yang masih kecil, Azlinda, 11; Mohd Azlim, 10; Mohd Azfazril, 6; Azfarhaneta, 2 dan Mohd Azrazif, 1 ketika beliau terpaksa bekerja sebagai buruh kasar dan juga nelayan.

"Jika ada ehsan Kerajaan, saya hanya mengharapkan sebuah rumah untuk tempat anak-anak dan isteri saya berteduh kerana pondok mertua saya tidak lagi sesuai untuk dihuni," kata Bari seraya menuding jari ke arah tiang rumah impian yang terpacak sejak sekian lama.

Kata Bari, jika mereka yang sudah mempunyai rumah diberikan rumah oleh Suhaili, maka beliau agak hairan kenapa permohonannya untuk mendapatkan sebuah rumah PPRT atau PBR tidak langsung dipedulikan Suhaili.

"Saya anak jati Tambisan bukan PATI. Mungkin kerana itulah saya tidak mendapat sebarang bantuan," kata Bari dengan nada kesal.

No comments:

Post a Comment