Saturday 1 December 2012

MENJELANG PRU, ANARKISME DIBAWA PAKATAN





Oleh : NOMY NOZWIR DAN MD IZWAN

KUALA LUMPUR : Perwakilan Umno terus menghentam Pakatan Rakyat (PR), dengan berkata pakatan pembangkang itu hanya mencetus huru-hara dalam negara, dengan pilihan raya umum (PRU) semakin hampir, yang akan diadakan selewat-lewatnya April tahun depan.

Pada hari kedua persidangan, perwakilan berhujah dengan mengatakan PR mengajukan liberalisme dan kebebasan mutlak yang menuju kepada anarkisme serta huru-hara.

Datuk Samsol Bari Jamali dari Johor berkata, pembangkang membawa budaya ekstremisme yang membawa perpecahan dan pertelingkahan.

“PAS membawa budaya ekstremisme agama, DAP pula membawa hak kesamarataan tanpa mengira kepentingan setiap bangsa, PKR pula membawa ideologi liberalisme yang hanya menjurus pada anarkisme,” kata Samsol dalam ucapan perbahasannya.

Menurut Samsol, semasa pilihan raya pertama, Umno sanggup berkongsi kuasa dengan MCA dan MIC walaupun populasi Melayu pada ketika itu ialah 80 peratus.

“Apakah ini ‘apartheid’ dan rasis seperti yang didakwa pembangkang? Siapa sebenarnya ‘apartheid’ dan rasis?” kata Samsol lagi.

No comments:

Post a Comment