Sunday 2 December 2012

NAIKTARAF JALAN LABUK SIAP 2013






CENDERAHATI…JOHN menerima cenderahati kenang-kenangan daripada pengerusi penganjur.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

PENGARAH  Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ir John Anthony berkata  masalah yang  sering membelenggu pengguna jalan raya terutama bila melalui laluan Jalan Labuk antara Batu 8 hingga ke Batu 16 Gum-Gum Sandakan  akan dapat diatasi sepenuhnya berikutan kerja-kerja menaiktaraf jalan itu sedang dilaksanakan melibatkan kos kira-kira RM95 juta.

Walaupun  begitu, kerja-kerja menaiktaraf akan tertangguh kerana banyak fasiliti terlibat seperti mengalihkan tiang elektrik, tiang telekomunikasi dan paip air yang merupakan penghalang kepada perlaksanaan projek tersebut.

Namun demikian, katanya, ia tetap diteruskan mengikut jadual walaupun memakan masa memandangkan penaiktarafan jalan berkenaan adalah merupakan salah satu janji kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang lepas.

"Usaha bagi menaiktaraf Jalan Batu 8 hingga ke Batu 16 Gum-Gum ini dijangka siap pada tahun hadapan kerana sebaik sahaja kerja-kerja penaiktarafannya selesai, kita juga akan melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf jalan yang bermula dari Batu 16 hingga ke Batu 32," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Karnival Sukan JKR Sabah Ke-VIII di Kompleks Sukan Sandakan di sini, kelmarin.

Menurut beliau, menaiktaraf laluan bermula dari Batu 16 hingga ke Batu 32 masih dalam peringkat permohonan memandangkan ia melibatkan kos pelaksanaan sebanyak RM250 juta.

Begitu pun, ujarnya, kerja-kerja menaiktaraf jalan ini akan menjadi kenyataan kelak kerana pihak kerajaan sudah pun merancangnya terlebih awal mengambil kira dari segi keadaan jalan selain rungutan pengguna selama ini.

"Kita tidak tahu bila ia dapat dilaksanakan bergantung kepada peruntukan yang ada kerana ia masih dalam peringkat permohonan. Sekarang ini, kerja-kerja menaiktaraf jalan dari Batu 8 hingga ke Batu 16 Gum-Gum yang sedang dilaksanakan.

"Kalau sudah siap, kerajaan akan meneruskan kerja-kerja menaiktaraf laluan jalan yang seterusnya ... kita masih menunggu peruntukannya," katanya.

Dalam pada itu, John memberitahu peruntukan sebanyak RM20 juta digunakan bagi menaiktaraf Jalan Sibuga sejauh 2 kilometer bermula dari bulatan Jalan Utara sehingga ke Jalan Lintas menghala Batu Sapi.

Katanya, kerja-kerja menaiktaraf jalan ini akan dilaksanakan tidak lama lagi kerana surat tawaran sudah pun ditandatangani dan bakal diberikan kepada pihak kontraktor. 

"Menaiktaraf jalan berkenaan penting kerana pengguna jalan raya seringkali merungut dengan keadaan jalan yang sempit. Kita berharap penaiktarafan Jalan Sibuga akan memberi keselesaan kepada semua pengguna yang menggunakan laluan ini," tambahnya.

Terdahulu dari itu, ketika berucap beliau menggalakkan semua pihak khususnya kakitangan jabatan kerajaan agar melibatkan diri dengan setiap aktiviti sukan kerana ia cukup penting kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Ini katanya, dalam apa jua bentuk sukan semua pihak tidak terkecuali kakitangan kerajaan adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukanan.

Menurutnya, selain menjamin kecergasan badan, kecerdasan minda dan kesihatan tubuh badan, aktiviti sukan memainkan peranan penting untuk memupuk semangat setiakawan, menjalin silaturrahim, muhibbah serta mengeratkan kerjasama di kalangan pegawai-pegawai kerajaan di semua peringkat.

"Saya percaya, kejohanan seperti ini bukan hanya dapat membentuk kita menjadi insan yang cemerlang, berdisiplin dan mempunyai daya saing yang tinggi disamping mempunyai tubuh badan yang sihat, malah aktiviti kesukanan ini pastinya mampu menjadi pemangkin ke arah pencapaian mutu perkhidmatan yang cemerlang di kalangan semua kakitangan," kata beliau.

Sebanyak lapan kontinjen terdiri daripada pasukan-pasukan JKR seluruh negeri mengambil bahagian dalam karnival kali ini antaranya Zon Kudat; Zon Pendalaman Atas; Zon Tawau; Zon Sandakan; Ibu Pejabat; Zon Kota Kinabalu; Zon Pendalaman Bawah dan Zon Pantai Barat Utara.

No comments:

Post a Comment