Monday 3 December 2012

PAKATAN AKAN PASTIKAN RAKYAT BERPUAS HATI






Oleh : LESAYA LOPOG SORUDIM.

TAMPARULI : Presiden APS, Datuk Seri Panglima Wilfred M. Bumburing berkata antara dasar yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang akan ditubuhkan selepas PRU13 nanti ialah menangani perbezaan harga barang-barang runcik di antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak.

"Adalah tidak adil dan tidak berpatutan bagi penduduk di Sabah dan Sarawak yang terpaksa membeli barangan yang lebih mahal daripada yang terdapat di Semenanjung bagi keperluan asas yang sama," kata beliau.

Dalam kesempatan yang sama, beliau juga menyeru kepada seluruh warga Sabah khususnya kaum KDM untuk sama-sama memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui tampuk pemerintahaan Kerajaan Persekutuan menjelang PRU13 nanti agar segala ketidakpuasan yang berlaku dalam kerajaan BN sekarang dapat dihentikan.

Jelajah Kelompok APS yang diadakan di Balai Muhibah Kg. Loputung, Tamparuli itu dihadiri seramai 300 orang yang terdiri dari bekas ahli-ahli parti komponen BN.

Berhubung isu Undang-undang Hudud yang hangat diperkatakan oleh semua pihak, Bumburing berkata, "Saya tidak dapat melihat kemungkinan Hukum Hudud boleh dilaksanakan di Malaysia walaupun Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan persekutuan kerana jika cadangan ini hendak dilaksanakan maka ia melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan ini memerlukan sokongan dua pertiga daripada ahli-ahli Parlimen," jelas beliau.

Seterusnya beliau juga menerangkan bahawa kebebasan beragama merupakan salah satu Amanah yang dimaktubkan dalam Persetujuan Malaysia 1963 dan matlamat APS adalah mempertahankan dan menuntut semangat Perjanjian tersebut.

No comments:

Post a Comment