Saturday 1 December 2012

PBB IKTIRAF PALESTIN NEGARA BERDAULAT






KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengalu-alukan undi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah memihak kepada Palestin dan memberikan Palestin status negara pemerhati bukan ahli di badan dunia itu.

“Undian Perhimpunan Agung PBB tersebut sekurang-kurangnya telah mengiktiraf kehadiran Palestin sebagai negara yang berdaulat,” kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, kemenangan diplomatik yang ditunjukkan oleh 138 negara mengundi memihak kepada Palestin untuk menaik taraf status, dengan itu memungkin ia juga boleh terlibat dengan pelbagai forum dalam PBB dan di dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Beliau berkata, pokoknya status Palestin semakin jelas untuk menyuarakan haknya yang selama ini dinafi oleh Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat.

“Kami mengutuk reaksi duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Susan Rice menggelarkan tindakan itu "tidak produktif" dan jabatan negara Amerika Syarikat memberi amaran perubahan status boleh membawa kepada pengurangan sokongan ekonomi Amerika Syarikat untuk rakyat Palestin,” ujarnya kepada Harakahdaily.


Ini, ujarnya jelas membuktikan Amerika bukan sahaja menyokong Israel menafikan hak Palestin malah telah merestu segala tindakan ganas yang dilancarkan oleh Israel ke atas rakyat Palestin selama lebih 64 tahun.

Tegasnya, seluruh Negara Islam yang memberi undi menyokong Palestin harus faham bahawa ini adalah langkah kecil dalam proses yang masih panjang untuk menuntut hak Palestin dikembalikan.

Tambahnya, terlalu banyak lagi yang perlu diperjuangkan terutama soal mengembalikan wilayah Palestin yang telah dirampas oleh Israel sejak 1967.

Katanya lagi, perjuangan yang paling utama ialah hak umat Islam ke atas Masjid Al Aqsa yang sangat dekat dengan hati ummah.

“Dengan membantah usul ke atas Palestin ternyata Amerika dan Israel merupakan negara yang tidak mahu perdamaian dicapai dengan memberi hak kepada Palestin,” katanya. (HarakahDaily)

No comments:

Post a Comment