Wednesday 19 December 2012

PECAH RUMAH, DOKTOR KERUGIAN RM68,000




Oleh :  MOHD NAZIB MACPEE.

LAHAD DATU: Seorang doktor di sini mengalami kerugian kira-kira RM68,000 setelah rumahnya yang terletak di Taman Bahagia, Fajar dipecah masuk, yang dipercayai dilakukan oleh sekumpulan penjenayah dalam kejadian pada Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis, ASP Ang Seow Aun, berkata mangsa seorang lelaki berumur 35 tahun itu bagaimanapun hanya menyedari kejadian itu pada sebelah pagi setelah beberapa barangan berharga miliknya seperti barangan kemas, iPad Samsung Galaxy dan wang tunai telah hilang. Beliau kemudiannya melaporkan perkara itu di Balai Polis Lahad Datu kira-kira jam 11 pagi.

Bertindak atas maklumat, katanya, sepasukan enam anggota JSJ yang diketuai oleh beliau sendiri telah berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berumur 25 hingga 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, di Kampung Sarib kira-kira jam 2 petang pada hari yang sama.

“Ketika pemeriksaan dilakukan terhadap dua daripada tiga suspek, pihak kita telah menemui semula sejumlah wang hasil daripada kegiatan jenayah yang mereka lakukan.

“Selain itu, pihak kita juga turut menjumpai semula barang kemas milik mangsa yang disembunyikan di kawasan paya berhampiran dengan lokasi ketiga-tiga suspek itu ditangkap,” katanya.

Menurut Ang, pihaknya kini masih menjejaki seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan dipercayai suspek masih lagi berada dalam daerah ini.

“Berdasarkan sumber maklumat yang kita perolehi hasil daripada siasatan yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek, pihak polis yakin akan berjaya menangkap suspek keempat dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tambahnya, salah seorang suspek yang ditahan itu juga adalah merupakan bekas banduan yang baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara di Semenanjung.

“Dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek ini juga, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah yang berlaku di sekitar daerah ini,” katanya sambil menambah, kesemua suspek kini ditahan reman dan akan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan. (UB)

No comments:

Post a Comment