Saturday 15 December 2012

PEMIMPIN DINILAI DARI KEIKHLASAN, BUKAN JAWATAN






KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said berkata seseorang pemimpin dinilai bukan kerana jawatan, sebaliknya kerana keikhlasannya dalam memimpin.

Oleh itu, katanya, soal relevan atau tidak seseorang pemimpin dalam mengetengahkan sesuatu perkara bukanlah perkara pokok sebenarnya.

"Yang penting adalah keikhlasan pemimpin itu dalam perjuangannya tanpa memikirkan soal jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Kota Belud di Dewan Masyarakat Kota Belud hari ini.

Beliau diminta mengulas kritikan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin berhubung kenyataannya mengenai politik "touch and go" pakatan pembangkang baru-baru ini.

Dalam pada itu, Salleh percaya Lajim telah menyesali tindakan beliau yang didorong oleh `politik benci dan janji' yang kini beliau sedari tidak mungkin dapat ditepati.

"Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Lajim dan sebagai seorang rakan yang pernah berjuang bersama-sama dalam politik, saya memahami penyesalan beliau." katanya, sambil merujuk pepatah Melayu yang menyebut `sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya'.

Terdahulu dalam ucapannya, Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata mengajak setiap umat Islam supaya meletakkan keimanan dan ketaqwaan sebagai keutamaan.

"Hal ini perlu menunjangi aspek pembangunan dan pemantapan ukhuwah dengan berusaha meningkatkan keupayaan dan penguasaan dalam semua bidang ilmu," katanya.

Beliau juga menyeru agar masyarakat Islam terus bersatu padu dan bekerjasama dengan masyarakat bukan Islam untuk menentukan keamanan dan pembangunan negara.

No comments:

Post a Comment