Wednesday 5 December 2012

PENDUDUK KENINGAU DIKEJUTKAN GEMPA BUMI






KENINGAU: Penduduk di sekitar pekan ini dikejutkan dengan satu gegaran yang berlaku kira-kira jam 11.16 pagi pada Isnin.

Gegaran itu turut dirasai di beberapa bangunan-bangunan jabatan kerajaan, kedai dan perumahan di sekitar pekan ini. Walau bagaimanapun tiada keretakan bangunan dilapor.

Kejadian berkenaan disahkan oleh Jabatan Meteorologi melalui laman web mereka.

Petikan laporan jabatan itu menyatakan bahawa satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.0 pada skala Richter telah berlaku 11 kilometer dari Timur Pekan Keningau, Sabah pada 11:16 pagi, 03 Disember 2012 dan Pusat Gempa Bumi terletak di 5.3 darjah utara dan 116.3 darjah timur. Gegaran dirasai berhampiran pusat gempa.

Dalam petikan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan maklumat yang terkini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Robert Solisip @ David memberitahu media bahawa tiada sebarang laporan diterima oleh pihaknya berhubung kejadian itu.

“Kita sudah menghubungi semua bahagian di IPD di sini namun tidak mendapat sebarang laporan mengenai kejadian tersebut dan tidak mendapati apa-apa aktiviti manusia yang berkemungkinan menyebabkan gegaran berkenaan,” katanya.

Robert juga mengesahkan bahawa beliau dan anggota-anggotanya yang berada di semua bangunan IPD di sini pada masa gegaran yang dilaporkan tidak merasai gegaran berkenaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau, Mohd Sabri Hassan, berkata pihaknya ada menerima laporan dari para kakitangan di bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Keningau berkenaan gegaran tersebut.

Katanya, kakitangan di LHDN membuat panggilan melaporkan bahawa gegaran turut dirasakan pada bangunan mereka dan meminta pihak Bomba datang memeriksa keadaan keselamatan bangunan berkenaan.

“Kita telah menghantar satu unit penyelamat ke bangunan LHDN Keningau dan memeriksa keadaan dalam dan luar bangunan berkenaan namun tidak mendapati sebarang keretakan pada bangunan tersebut,” jelasnya.

Berhubung dengan kejadian tersebut, Sabri menasihati orang awam supaya tidak panik dan bertenang dalam segala urusan mereka dan terus memaklumkan pihak berkuasa terhadap apa sahaja kejadian yang tidak diingini yang berlaku di kawasan mereka.

“Jika dalam keadaan kacemasan sedemikian segera buka pintu untuk pastikan adanya jalan keluar untuk evakuasi kerana gempa dapat mengetatkan pintu dan susah untuk di buka.

“Jangan terburu-buru keluar dan cari tempat berlindung seperti meja terdekat dan lindungi kepala anda. Terburu keluar dengan panik boleh menyebabkan kejatuhan runtuhan kecil bahagian bangunan seperti kaca atau barang-barang lain seperti perabot dan sebagainya perabot.

“Bagi mencegah kebakaran hendaklah matikan semua alat yang dapat menyebabkan berlakunya kebakaran,” jelas beliau.

Seorang penduduk Martin Limar yang tinggal di Taman Juta Keningau juga turut merasai gegaran itu kira-kira jam 11.15 pagi.

Katanya, semasa gegaran itu tangki dalam rumah kediaman mereka berbunyi kuat dan perabot turut bergoyang.

No comments:

Post a Comment