Saturday, December 1, 2012

PENGUNDI MUDA PERLU BERFIKIRAN TERBUKA






KUALA LUMPUR : Pengundi muda di Sabah perlu berfikiran terbuka dalam menilai sesuatu perkara dengan melihat dari segi jangka panjang dan tidak terlalu mengikut emosi, kata Ketua Umno Bahagian Ranau, Sabah Datuk Masidi Manjun.

"Justeru saya berharap semua pengundi muda di Sabah dapat berfikiran terbuka dalam memilih pemimpin yang boleh memberi jaminan kepada masa depan mereka dan bukannya mempertaruhkan sokongan kepada pihak yang boleh merosakkan bangsa dan negara," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno di sini, pada Jumaat.

Masidi, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata para pemimpin di negeri itu tidak mempunyai masalah dengan pengundi muda berikutan sikap keterbukaan yang diamalkan selama ini.

"Sikap keterbukaan merupakan kunci utama pemimpin untuk mendekati golongan muda dan sikap seperti itu sudah tertanam dalam diri semua pemimpin di Sabah sejak dulu. Kita seringkali menganjurkan acara melibatkan semua golongan muda," katanya.

Masidi berkata pengundi muda Sabah seharusnya tidak mempunyai masalah menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 kerana kerajaan yang ada sentiasa menjaga hak mereka dengan baik.

Mengulas ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai penglibatan golongan muda dalam pilihan raya umum ke-13, Masidi berkata golongan muda perlu diberi peluang menonjolkan bakat untuk menjadi pemimpin kerana ia adalah proses meremajakan parti.

"Perkara itu perlu dilakukan kerana golongan muda merupakan pelapis untuk masa depan parti," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata parti perlu mendidik pemimpin muda secara sistematik dan memilih golongan muda yang mempunyai bakat untuk menjadi pemimpin.

"Kita perlu melihat apa yang dilakukan di beberapa negara, contohnya China. Mereka mendidik pemimpin muda secara sistematik untuk dijadikan pengganti pemimpin yang sudah berumur...oleh itu proses untuk menggantikan pemimpin yang sudah tua dapat dijalankan dengan senang," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment