Sunday 9 December 2012

PENJUALAN IKAN BASUNG DI PASAR TERHAD?






Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Desas desus fenomena air merah beracun yang melanda perairan ibu negeri telah menyebabkan sebilangan para peniaga di pasar basah menghadkan penjualan ikan basung.

Tinjauan ke pasar besar bandaraya kelmarin mendapati hanya segelintir peniaga sahaja yang menjual ikan basung, selainnya adalah ikan laut dalam, sotong, ketam dan udang.

Menurut seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Justin, 32, pada mulanya dia tidak mengetahui bahawa fenomena air merah beracun melanda perairan namun telah dimaklumkan oleh rakan-rakan lain untuk mengurangkan penjualan ikan basung.

“Pada mulanya, saya tidak mengetahui perkara ini dan ada menjual ikan basung yang dibeli daripada pemborong tetapi berkemungkinan ia adalah dari perairan daerah yang lain.

“Saya kemudiannya memutuskan untuk menghentikan sementara penjualan ikan basung setelah mengetahui berlaku fenomena air merah beracun bagi mengelak daripada kejadian tidak diingini,” katanya.

Pada 4 Disember lepas, amaran telah dikeluarkan kepada orang ramai supaya mengelak daripada memakan pelbagai jenis kerang dan ikan seperti basung dan tamban berikutan fenomena air merah beracun di perairan ibu negeri.

Satu kenyataan dari Pejabat Daerah Putatan pada hari berkenaan telah memberitahu masyarakat setempat mengenai fenomena berkenaan selepas dimaklumkan oleh Jabatan Perikanan Negeri.

Amaran terbabit mengatakan orang ramai dilarang memakan sebarang jenis kerang seperti tiram, dalus, remis serta ikan basung dan tamban berikutan fenomena berkenaan.

Antara simptom awal sekiranya memakan kerang atau ikan beracun, seseorang individu itu akan berasa mual dan mengalami lumpuh otot.

Had yang dianggap paling rendah tahap berbahaya untuk manusia ialah 400 MU yang membolehkan amaran dikeluarkan kepada orang ramai mengikut standard prosedur operasi (SOP) Jabatan Perikanan. (UB)

No comments:

Post a Comment