Tuesday 25 December 2012

PERSATUAN BUGIS SABAH AKAN BANTU RCI







BEAUFORT: Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) amat mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan DiRaja untuk menjalankan siasatan terhadap status kewarganegaraan serta pengeluaran kad pengenalan.

“Persatuan ini akan memberi kerjasama kepada RCI kerana dalam proses penyiasatan itu nanti,” kata Presiden Persatuan itu, Datuk Haji OsmanHaji Jamal.

“Maksud kita di sini ialah untuk mengikis tanggapan beberapa pihak terhadap etnik Bugis di Sabah yang sudah tentunya RCI akan menjadi penentu kesahihan etnik Bugis sama ada mereka warganegara atau rakyat Malaysia,” katanya.

“Kita menyambut baik RCI supaya tidak ada lagi pihak-pihak yang cuba memperkotak-katikkan dan mempertikaikan kedudukan etnik Bugis di Negara ini,” kata Osman semasa merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Komuniti Bugis Sabah Daerah Beaufort 2012 yang diadakan di Dewan Pak Musa Beaufort kelmarin.

Beliau berkata persatuan itu akan tunggu hasil keputusan RCI untuk menentukan mana-mana etnik Bugis yang lama atau baru yang berada di negeri ini.

Osman berkata sejarah telah membuktikan bahawa etnik Bugis sudah wujud di negeri ini (Tawau) sejak tahun 1881 semasa pemerintahan Belanda.

“Namun apabila perpecahan sempadan antara kedudukan Bugis yang berada di Tawau ketika itu telah menjadi sebahagian Negeri sabah dan Malaysia amnya,” katanya.

Pada masa yang sama beliau berkata terdapat kira-kira 12,000 ahli yang telah berdaftar menjadi ahli PKBS dan beliau menyeru agar lebih ramai akan terus berdaftar dan menjadi ahli persatuan ini.

Osman juga menasihatkan ahli-ahli persatuan ini supaya terus meningkatkan usaha memartabatkan bangsa jika mahu bangsa dihormati dan etnik Bugis perlu bangkit mentransformasikan bangsa supaya terus maju dalam semua bidang terutama sekali dalam soal pendidikan dan ekonomi.

“Mereka harus sama-sama berlumba-lumba untuk menempah kemajuan agar selari dengan masyarakat dari persatuan yang mewakili etnik masing-masing di negeri ini,” katanya.

Osman juga memaklumkan Persatuan ini kini bukan lagi dinamakan sebagai Persatuan Kebajikan Bugis Sabah tetapi telah ditukar kepada Persatuan Komuniti Bugis Sabah.

1 comment: