Wednesday 26 December 2012

PERSEFAHAMAN BN KEKALKAN KESEJATERAAN



SUMBANG.....Azizah menyampaikan sumbangan kepada warga emas pada program Jelajah Salam Sayang Wanita Umno Beaufort di Kg Melulugus.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

BEAUFORT: Rakyat diingatkan bahawa hanya melalui gandingan pemimpin yang mempunyai persefahaman yang kukuh akan dapat memastikan kesejahteraan negara ini tidak tergugat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata selama ini hanya parti-parti komponen dalam Barisan Nasional yang telah terbukti mempunyai ikatan persefahaman yang kukuh dan telah berjaya mengekalkan perpaduan di negara ini.

“Kerajaan kita sayangkan rakyat. Kita tidak mahu rakyat berpecah belah. Kerajaan BN sentiasa berusaha memastikan rakyat terus hidup dalam keadaan damai dan harmoni. Justeru itu BN mahu terus mengekalkan perpaduan yang menjadi tunggak kekuatan negara ini,” katanya sambil mengingatkan bahawa pemimpin-pemimpin dikalangan parti-parti pembangkang tidak sehaluan dan sering bertelagah sesama mereka.

“Parti pembangkang tidak bersefahaman jadi bagaimana mereka dapat mentadbir negara ini dengan baik. Kita khuatir akan berlaku kacau bilau dan kesejahteraan negara akan tergugat kalau mereka memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Salam Sayang di rumah Agang Ayau Kg Melulugus di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Daerah, Wong Sameh, Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort merangkap Naib Presiden KDM, Datuk Kimjus Duim, Ketua Bahagian Parti Gerakan Bahagian Beaufort, Robert Lee dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias seterusnya berkata kerajaan BN akan meneruskan usaha yang terbaik dan mengutamakan keperluan semua rakyat tanpa mengira suku kaum dan kepercayaan.

“Tolak pembangkang, pilihan terbaik untuk kita ialah terus memberi sokongan kepada kerajaan BN kerana sudah terbukti hanya BN yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat sejak sekian lama,” katanya sambil membidas pelbagai tohmahan yang dilemparkan oleh pihak pembangkan terhadap kerajaan dan pemimpin BN.

“Parti-parti pembangkang hanya pandai berjanji itu dan ini tetapi tidak mampu untuk menunaikan janji mereka. Sehubungan itu jangan sekali-kali kita memberi ruang kepada mereka untuk bertapak,” katanya.

Pada majlis anjuran Pergerakan Wanita Umno Bahagian Beaufort itu Azizah menyampaikan sumbangan kepada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

No comments:

Post a Comment