Tuesday 4 December 2012

POLIS MARIN TUMPAS CUBAAN SELUDUP MINYAK






RAMPAS.....Kelihatan seorang pegawai dan seorang anggota PPM menunjukkan minyak petrol dan diesel yang berjaya dirampas.

Oleh : MOHD NAZIB MACPEE

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin PDRM Daerah Lahad Datu menerusi satu operasi yang dilaksanakan telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar sejumlah 18,875 liter minyak petrol dan 500 liter minyak diesel dengan anggaran nilai sebanyak RM36,862.50 (mengikut harga subsidi tidak termasuk cukai).

Rampasan itu dibuat selepas menahan seramai sembilan orang lelaki termasuk seorang juragan di kawasan 1.6 batu nautika daripada Pulau Tabawan, Perairan Silam, di sini, pagi Ahad lalu. Turut dirampas sebuah kapal berukuran 80 kaki panjang dan 20 kaki lebar bernilai RM500,000.

Komander Pasukan Polis Marin PDRM Wilayah 4 Sabah, ACP Manaf Othman dalam satu sidang media yang disampaikan menerusi ASP Rusdin Banin, berkata kejayaan rampasan terbesar melibatkan tangkapan di bawah Akta Kawalan Bekalan itu dilaksanakan sepasukan lapan pegawai dan anggota PPM yang diketuai oleh beliau sendiri.

Katanya, bertindak atas maklumat awam pada kira-kira jam 4 pagi, pihaknya telah melakukan intipan dan pemantauan di kawasan terbabit dengan menggunakan bot ronda PSC 51.

“Dalam intipan dan pemantauan itu, pasukan kita telah berjaya menahan sebuah kapal bernombor pendaftaran LD 2681 dan dalam pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat lebih kurang 730 jerikin minyak petrol dan 25 jerikin minyak diesel seberat lebih 18 tan telah dimuatkan ke dalam kapal itu.

“Ia melibatkan keseluruhan rampasan sebanyak RM536,862.50 dan merupakan rampasan terbesar dilakukan PPM dibawah Akta Kawalan Bekalan bagi tahun ini.

“Pemeriksaan lanjut, kita juga turut menahan seorang juragan berumur 44 tahun, tiga penumpang lelaki yang dipercayai merupakan ahli keluarga juragan, lima pekerja lelaki termasuk seorang daripada mereka adalah merupakan PTI.

“Kesemua mereka berumur 16 hingga 45 tahun dan kini telah ditahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kes diserahkan keada pihak KPDNKK untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Manaf mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas penyaluran maklumat oleh orang awam hingga pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar kesemua minyak yang dipercayai untuk dipasarkan ke negara jiran.

“Seperti kita sedia maklum, peranan masyarakat dalam membantu pasukan PDRM sememangnya amat diperlukan dan perlu dihargai. Ini kerana masyarakat adalah merupakan mata dan telinga bagi pasukan PDRM dengan menyampaikan apa juga maklumat mengenai kegiatan jenayah yang berlaku di negeri ini.

“Maka sikap sebegini seharusnya diberi pujian kerana dalam kita membanteras jenayah, kerjasama padu di antara masyarakat bersama pasukan polis adalah satu peranan yang penting dan harus dipelihara agar kesejahteraan dan keamanan negara terus dikecapi,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment