Sunday 16 December 2012

RAKYAT SABAH BAKAL BERPENDAPATAN TINGGI ?






Saudara Pengarang,

KERAJAAN telah memulakan transformasinya setelah Budget 2013 telah dibentangkan beberapa bulan lepas. Kenaikan gaji minimum akan bermula pada tahun hadapan dan dikuatkuasakan. Ini sudah pasti bakal menggembirakan seluruh rakyat terutama pekerja yang berpendapatan RM 300 sebulan.

Pendapatan seisi rumah akan bertambah dan mampu membantu mereka untuk membeli keperluan harian yang selama ini tidak cukup. Terima kasih kepada kerajaan kerana mengotakan janjinya kepada rakyat.

Namun mampukah kenaikan gaji minima ini membantu rakyat yang berpendapatan rendah? Mampukah RM 800 sebulan ini dapat membantu rakyat membeli keperluan mereka; kerana gaji sebanyak ini masih lagi dikategorikan sebagai miskin.

Kebanyakan pekerja yang bergaji rendah adalah di kilang-kilang atau syarikat small medium enterprise seperti kilang mee, kilang keropok, kilang papan, workshop dan engineering serta banyak lagi. Syarikat SME ini hanya mempunyai keuntungan yang sedikit di mana hanya ratus ribu setahun dan ada yang hanya RM 50,000 keuntungan setahun.

Selama ini, kerajaan membawa pelabur ke negara ini dan ternyata berhasil kerana banyak syarikat luar telah bertapak di Sabah dan ini amat baik bagi kita semua kerana mereka ini mampu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Namun apa yang berlaku, tahun hadapan akan pasti berubah. Sedarkah kita semua bahawa kenaikan gaji minima ini akan mengakibatkan pendapatan sesebuah syarikat berkurangan. Sedarkah kita bahawa gaji minimum yang akan dilaksanakan, akan meningkatkan kos sesebuah syarikat?

Sedarkah kita bahawa kenaikan ini akan menyebabkan pelabur tidak lagi berminat melabur di Sabah kerana tidak tahan dengan kos material, kos pekerja yang tinggi berbanding Thailand dan Indonesia?

Sedarkah kita bahawa kenaikan kos ini juga bakal menyaksikan syarikat kecil terpaksa gulung tikar kerana tidak memperolehi untung. Sedarkah kita bahawa kenaikan gaji ini akan mengakibatkan kos syarikat meningkat dan terpaksa menaikkan harga barang atau mengurangkan item dalam produk mereka bagi mengurangkan kos?

Sedarkah kita bahawa warga desa akan terjejas dengan perkara ini kerana mereka bekerja sendiri sebagai petani dan penoreh getah serta mempunyai pendapatan di bawah paras kemiskinan? Sedarkah kita bahawa pekerja yang akan dibuang oleh syarikat, yang tidak mampu menggaji pekerja akan kehilangan pekerjaaan?

Sememangnya kenaikan ini sangat dinanti-nanti oleh rakyat namun hakikatnya pihak pengusaha akan mengalami kerugian; terpaksa menelan pahit akibat perlaksanaan undang-undang baru ini.

Kajian mendapati, banyak pekerja yang akan dibuang selepas ini kerana pihak syarikat tidak mampu menggaji mereka lagi. Ada juga yang sudah tutup kedai kerana tidak mampu mengejar kos produksi yang semakin meningakat.

Apa yang patut kerajaan lakukan adalah dengan menurunkan harga minyak kerana bahan inilah kunci segala kenaikan kos harian. Kerajaan kini menyarankan rakyat berinovasi namun kenapa kerajaan tidak berinovasi sendiri untuk mengkaji minyak keluaran negara agar dapat digunakan oleh rakyat malaysia terutama di Sabah.

Bila lagi mau merasakan minyak sendiri? Apa yang kita dengar, minyak mentah kita tidak sesuai untuk enjin kenderaan kita. Tapi apa yang saya dengar, kereta keluaran proton ada pula di luar negara. Mengapa enjin kereta, tidak dibina mengikut kesesuaian minyak malaysia? Jika sekiranya dimanfaatkan dengan betul, sudah pasti tiada yang tertindas. 

Kita sendiri akan mengawal harga minyak kita; sekiranya minyak kita digunakan sepenuhnya, kita antara pengeluar minyak dan banyak sumber boleh diperolehi terutama di Sabah dan seharusnya pihak kerajaan memanfaat perkara ini sepenuhnya dan bukan menjualnya kepada negara luar dan membeli minyak dari luar.

Kenaikan harga barang bakal berlaku lagi pada tahun hadapan seandainya gaji minima ini dilaksanakan tanpa memberi subsidi atau bantuan kepada syarikat-syarikat terutama syarikat kecil.

Pemilik syarikat ini juga rakyat dan mempunyai keluarga yang harus disara. Jadi seharusnya mereka ini ada hak untuk dilindungi dan diberi perhatian agar punca pendapatan mereka tidak terjejas.

Kita mahukan rakyat berpendapatan tinggi. Kita mahu rakyat menikmati kemudahan dan keperluan yang sewajarnya. Kita mahu anak-anak kita bersekolah dan mampu membayar yuran sekolah dan keperluan mereka.

Namun tidak akan berlaku sekiranya tiada kaedah untuk membantu golongan pengusaha. Ia tidak akan bakal berlaku sekiranya pengusaha terus menerus mengalami kerugian jika tidak menaikkan harga produk atau servis mereka. Ia juga tidak berlaku sekiranya kerajaan tidak memikirkan inisiatif untuk membantu golongan pengusaha agar meningkatkan pendapatan mereka.

Pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu kerana selepas ini akan ada kenyataan agar barang keperluan tidak boleh dinaikkan. Ia sama seperti selalunya namun sedarkah kita bahawa pihak syarikat mendapat tekanan daripada perkara itu?

Tidak dinafikan bahawa pembangunan di Sabah ini sedikit sebanyak telah berubah berbanding 10 tahun lepas, namun apa yang pasti, kebajikan rakyat juga harus diambil perhatian serius.

Kenaikan harga barang atau kos harian sudah pasti menyulitkan lagi keadaan dan seperti yang dialami pada ketika ini. Jadi tiada makna kenaikan gaji minima ini dilaksanakan jikalau harga barang akan meningakat. 2 x 5 ia sama sahaja.

Salam Hormat,

LO PHUNG

No comments:

Post a Comment