Wednesday 12 December 2012

RELA PERLU BANTU RCI BENDUNG PATI





KENINGAU: Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) perlu memainkan peranan membantu badan RCI yang telah dibentuk untuk mengesan kesahihan MyKad yang diberikan kepada rakyat asing dan sekali gus membendung kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan masing-masing.

Leftenan Kol Kehormat Rela, Datuk Justin Guka, berkata kesahihan kad pengenalan atau MyKad yang dimiliki oleh rakyat asing perlu diteliti.

Maka dengan itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab paltun-platun Rela di kampung mengawasi kehadiran orang-orang yang diragui.

“Sebagai anggota Rela kita perlu siasat latar belakang, dari mana mereka datang termasuk meneliti kad pengenalan yang mereka miliki dan jangan sekali-kali berkompromi dengan PATI,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersma Rela Mukim Bingkor di Dewan Serbaguna Kg. Buang Sayang, baru-baru ini.

Justin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, berkata kehadiran PATI perlu dibendung lebih awal kerana kedatangan mereka pada mulanya manis tetapi kemudian pahit.

“Seperti yang kita ketahui di daerah ini dan di seluruh Sabah rakyat mengeluh kerana peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan diambil oleh rakyat asing yang kini sudah mempunyai kad pengenalan,” jelas Justin.

Justeru itu, kata Justin, anggota Rela perlu memainkan peranan menjaga dan membendung kedatangan PATI di semua peringkat bermula di kampung dan daerah secara keseluruhannya.

Beliau memberi contoh di Sarawak tidak seperti di Sabah yang dibanjiri oleh PATI yang berkaliaran di sana-sini dan mengambil peluang-peluang tersedia yang sebenarnya untuk rakyat tempatan.

“Di Sarawak jarang kita nampak rakyat asing yang ada kad pengenalan yang diragui atau PATI yang berkeliaran,” katanya.

Justeru itu, katanya, tanggungjawab anggota Rela adalah amat penting bagi membendung kedatangan PATI kerana ia bukan sahaja lambat laun merebut peluang-peluang rakyat tempatan tetapi akan menjadi duri dalam daging.

Dalam masa yang sama, Justin berkata, anggota Rela harus taat dan hayati peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetap untuk panduan menjalankan tugas.

Katanya, pematuhan kepada undang-undang pasukan yang mendalam adalah landasan bagi setiap anggota untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Hadir sama Pegawai Rela Daerah Keningau, Leftenan Kol Venantius Masingga, bakal Mejar Kehormat Rela, Robert Tawik dan Ketua-ketua Perhubungan Rela Mukim Daerah Keningau.

Pada majlis itu, Justin menyampaikan pakaian seragam Rela, memakaikan pangkat kepada ketua-ketua platun dan timbalan-timbalan ketua platun reka bagi Mukim Bingkor dan melancarkan Tabung Keamanan Gaza.

No comments:

Post a Comment