Thursday 13 December 2012

ROBERT PHANG NAFI DAKWAAN BEKAS IGP




           
Oleh :  ABDUL RAHIM SABRI
             
BEKAS anggota panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang menafikan dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa beliau pernah menyebabkan seorang pegawai tinggi polis bertukar.

Phang yang juga Pengerusi Yayasan Penyayang Sosial turut menjelaskan, beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

"Saya menafikan bahawa saya yang menyebabkan pegawai itu dipindahkan dalam tempoh 24 jam," katanya.

Bercakap dalam sidang media di ibu negara pagi ini, Robert juga menegaskan beliau tidak mengetahui siapa individu yang dimaksudkan dalam dakwaan Musa itu.

"Saya juga ingin mengetahui siapa (pegawai polis) yang diperintah berpindah itu," katanya.

Musa kelmarin dilaporkan mendakwa, pegawai polis itu enggan memenuhi permintaan untuk mentauliah satu projek jutaan ringgit kepada satu syarikat yang melibatkan Phang pada 2009, untuk menaiktaraf sistem telekomunikasi polis kepada sistem digital.

Ekoran itu, dakwa Musa, pegawai polis yang berpangkat Datuk dan memegang ijazah PhD tersebut ditukarkan ke ibu pejabat polis Bukit Aman dalam tempoh 24 jam.

Mengulas dakwaan tersebut, Phang menjelaskan beliau dilantik menjadi penasihat bebas Motorola pada tahun 2009 selepas kontrak itu diberikan.

"(Penganugerahan) kontrak tersebut tidak ada kena mengena dengan sumbangan Robert Phang," katanya.

Jelasnya, beliau menghadiri satu sidang media oleh Motorola Technology pada Februari 2008, selepas syarikat itu diumumkan untuk terus melabur di Malaysia.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan rasmi dengan syarikat tersebut pada ketika itu.

Menjawab soalan, Phang berkata beliau menjadi penasihat bebas bagi dua syarikat dan anggota panel SPRM dalam satu masa, bagaimanapun menegaskan beliau tidak mempunyai konflik kepentingan berhubung perkara ini.

Beliau melepaskan jawatan sebagai anggota pabel SPRM secara sukarela pada Januari 2011, selepas didakwa - dalam sebuah blog - melakukan rasuah terhadap seorang pegawai awam.

SPRM bagaimanapun membebaskan Phang daripada tuduhan tersebut.

Dalam sidang media pagi kelmarin, Phang juga berkata beliau dinasihat oleh barisan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Musa berhubung dakwaannya itu.

No comments:

Post a Comment