Sunday 30 December 2012

SEJUTA JALIN RAMPAS TANAH MENUMBOK?






PAMER.......Dokumen yang dipamerkan di Jabatan Tanah dan Ukur bagi tempoh bantahan mengenai permohonan tanah seluas 200 ekar itu.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

RIBUAN penduduk di daerah kecil Menumbok membantah pengambilan tanah seluas 200 ekar di daerah ini oleh sebuah syarikat dari Semenanjung Malaysia, Sejuta Jalin Sdn Bhd. bagi tujuan aktiviti penternakan udang.

Tanah itu sepatutnya tidak dibuka peluang untuk orang luar memandangkan penduduk di sini sendiri tidak berpeluang memohon tanah seluas itu.

Permohonan tanah itu ketika dipamerkan di Pejabat Tanah dan Ukur daerah Kuala Penyu bagi tujuan bantahan sebelum ia diproses ke peringkat seterusnya.

Seorang penduduk jati daerah berkenaan, Ag Besar Rashid melalui laman sosial facebook mengajak penduduk membuat bantahan terbuka sebagai langkah terakhir untuk menghalang kawasan tanah tersebut terlepas kepada pihak luar.

Katanya, penduduk berhak menyatakan bantahan mereka bagi membolehkan pihak berkuasa yang berkenaan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Berdasarkan reaksi dalam FB, rata-rata penduduk meluahkan rasa tidak senang hati kerana orang lain cuba mengambil kesempatan tanah yang ada di daerah Menumbok.

"Kita harus mengemukakan bantahan kepada pihak berkenaan sebelum tempoh bantahan berakhir pada Januari depan," kata Ag. Besar, seorang guru yang lantang menentangkan birokrasi dalam jabatan kerajaan.

Penduduk lain yang turut merasa marah dengan penglibatan syarikat dari Semenanjung mendapatkan tanah itu, meminta kerajaan tidak menutup mata dengan pengambilan tanah di daerah ini.

"Ini tindakan merugikan rakyat, kita sendiri tidak ada peluang memohon tanah seluas, kenapa syarikat dari luar dengan mudah diberi peluang seperti ini," katanya.

Beliau berkata para pemimpin terutama wakil rakyat Kuala Penyu perlu tampil mengetuai rakyat melakukan bantahan keras terhadap masalah ini.

"Kita tidak mahu wakil rakyat berpeluk tubuh saja sedang beliau sendiri tahu pengambilan tanah ini. Mana dia, tolonglah angkat telefon dan datang bantu rakyat menyelesaikan masalah," tegas penduduk itu.

Beliau juga mahu supaya siasatan menyeluruh dilakukan mengapa syarikat yang beralamat di Selangor itu dibenarkan memohon tanah tersebut.

"Adakah sesiapa terlibat termasuk kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur harus disiasat secara menyeluruh, adakah mereka menjadi dalang," jelasnya.

No comments:

Post a Comment