Wednesday 19 December 2012

TAMAN CAHAYA BERWAJAH SURAM






TERSERGAM...Inilah Kompleks Penyayang Taman Cahaya yang tersergam indah tetapi menyembunyikan seribu rahsia yang belum terungkap.

Oleh : SHAIMON S JUMADI         Foto : SAFFIE S JUMADI

KOMPLEKS Penyayang Taman Cahaya Rancangan Sungei Manila, Sandakan  yang  diurus tadbir sebuah NGO merupakan pusat bagi menempatkan 'Orang Buta' seluruh Sabah memerlukan dana secukupnya untuk perbelanjaan bulanan.

Peruntukan yang diagehkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Masyarakat Negeri setiap tahun sebanyak RM15,000; bukan sahaja tidak mencukupi untuk membayar bil elektrik, malah tidak dapat menampung kos operasi pusat ini sebanyak RM180,000 setahun.

Penyelia Kompleks Penyayang Taman Cahaya, Haji Ibrahim Abdul Hamid  berkata  dalam satu wawancara eksklusif dengan Sabahkini.Net kelmarin, antara lain menjelaskan dana yang diperuntukan oleh kerajaan jelas memang tidak mencukupi kerana setiap bulan pusat ini akan membelanjakan lebih daripada RM10 ribu, sehingga menyebabkan Persatuan Orang Buta Sabah terkinja-kinja mencari dana tambahan bagi mengelakkan pusat penting ini ditutup.

“Untuk bayar gaji kakitangan seramai 11 orang membabitkan kos sebanyak RM8,000 sebulan; ini tidak termasuk pembiayaan makan minum, bayaran bill elektrik, air dan perbelanjaan lain,” ujarnya.






Kata Haji Ibrahim, pihak kerajaan, khususnya JPKAS tidak berlaku adil dan wujud birokrasi dalam pembahagian peruntukan kerana beberapa NGO yang tidak penting menerima peruntukan di antara RM200,000 sehingga RM300,000 setahun; tetapi pihaknya tidak pernah mendapat peruntukan sedemikian sejak ditubuhkan pada 1969 lagi.

Tambah Hj Ibrahim lagi, pihaknya pernah mendapat peruntukan RM35,000 setahun di era Datuk Raymond Tan Shu Kiah sebagai Menteri Perkhidmatan Kebajikan Am sebelum dipotong secara mendadak di era Datuk Yahya Hussin iaitu sebanyak RM5,000 sahaja dan kemudian dinaikkan semula kepada RM15,000 sahaja di era Datuk Azizah Mohd Dun.

Sebagai penyelia di pusat ini yang bertanggungjawab mengurus tadbir Kompleks Penyayang, Haji Ibrahim tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menghulurkan bantuan tersebut; tetapi memang amat tidak mencukupi dan merayu agar bantuan dinaikkan kepada RM300,000 hingga RM500,000 setahun.

Hj Ibrahim yang mula berkhidmat di pusat ini sejak tahun 1978  sehinga ke hari ini tidak sunyi berdepan dengan pelbagai masalah, tetapi amat berbangga apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman telah menyelesaikan masalah prasarana dengan meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membina Kompleks Penyayang Taman Cahaya bagi  menggantikan bangunan lama yang sudah usang.

Kompleks yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti Dewan  Serbaguna yang menempatkan  ruang pejabat dan beberapa bilik latihan bagi membimbing Orang Buta berdikari dan meningkatkan taraf hidup mereka setelah keluar daripada pusat ini.

Ikuti kisah lanjut dalam episod akan datang.

No comments:

Post a Comment