Tuesday 4 December 2012

TAMBAHAN RM3.1 JUTA BANTU PELARIAN PALESTIN






PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan sumbangan tambahan Malaysia AS$1 juta (RM3.1 juta) kepada Agensi Pemulihan dan Kerja Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pe-larian Palestin (UNRWA) untuk membantu pelarian ber-kenaan yang menghadapi keganasan tentera Israel di Gaza baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia baru-baru ini menyumbang RM1 juta kepada Tabung Darurat Gaza yang ditubuhkan oleh Yayasan Keamanan Global Perdana di bawah naungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tabung itu bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza. Sepasukan sukarelawan daripada yayasan itu kini berada di Gaza menyampaikan bantuan kemanusiaan.

“Kami berharap dan berdoa ketidakadilan yang berlarutan ini dapat diselesaikan segera. Dalam pada itu, Malaysia akan terus membantu rakyat Palestin, sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan dan sokongan politik,” katanya pada Hari Perpaduan Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin di sini semalam.

Najib berkata, tahun lepas Malaysia menyalurkan bantuan kewangan USD2 juta (RM6.2 juta) bagi membantu mengimbangi kos operasi Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur selain menyediakan biasiswa kepada pelajar Palestin yang belajar di Malaysia, membantu pembangunan modal insan menerusi program latihan dan menghantar bantuan kemanusiaan menerusi NGO Malaysia.

Selama lebih 30 tahun kata beliau, Malaysia telah memberi sumbangan tahunan kepada UNRWA.

Di tengah-tengah jeritan perang, Najib menyarankan suara kesederhanaan bagi menentang puak ekstremis yang enggan menyertai seruan keamanan.

“Kita perlu mendorong puak sederhana yang cintakan keamanan di mana-mana bahawa penyelesaian dua negara dengan negara Israel demokratik dan Negara Palestin Bebas hidup seiringan memenuhi kepentingan semua.

“Saya percaya prinsip dan amalan kesederhanaan boleh menghalang pertikaian. Sebab itu pada 2010, saya menganjurkan idea Gerakan Wasatiyah Global bagi mengurangkan konflik yang dilakukan oleh golongan ekstremis tanpa mengira agama, budaya dan ideologi politik mereka.

“Saya yakin Gerakan Wasatiyah Global boleh memain peranan positif bagi memudahkan rundingan damai  Palestin-Israel.

“Saya juga ingin merayu kepada pihak Palestin supaya memulakan rundingan damai dengan segera dan tanpa syarat, bagi menyelesaikan pertikaian politik demi perpaduan dan kepentingan rakyat mereka.

“Perbalahan dan perpecah-an akan memburukkan lagi keadaan dan menimbulkan risiko terhadap kehidupan rakyat Palestin,” kata beliau.

Najib berkata Malaysia berada bersama rakyat Palestin dalam usaha untuk menamat-kan pertikaian Arab-Israel.

“Kita berkongsi harapan mereka untuk mewujudkan perdamaian yang komprehensif, adil dan berkekalan, berasaskan pematuhan undang-undang, standard dan resolusi antarabangsa,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment