Saturday 1 December 2012

TAMU BARU TONGOD PUSAT TRANSFORMASI






Oleh: SHAIMON S JUMADI           Foto : DMAN SHAM

TAMU  baru  di Pekan Tongod yang dilancarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Masiung Banah juga bakal menjadi tempat baru sebagai menjana ekonomi penduduk daerah itu selain pemacu transformasi pembangunan daerah itu.

Tamu yang dibuka setiap hari khamis, bukan sahaja menjadi tempat penduduk menjual hasil pertanian dan perikanan; malah menjadi serampang dua mata kepada penduduk pedalaman untuk berurusan dengan agensi kerajaan di kawasan itu, selain tarikan di mata pelancong asing yang berkunjung.

Selain menyediakan tapak gerai yang lebih luas, kemudahan parkir kenderaan juga disediakan oleh Pejabat Daerah Tongod kepada penduduk yang menggunakan kenderaan ke tamu itu.

Bersebelahan kawasan tapak tamu baru itu juga penduduk setempat dalam kawasan DUN Kuamut boleh menggunakan pentas terbuka untuk menganjurkan sesuatu majlis.

Walaupun tapak baru tamu dibuka kepada penduduk setempat, namun tamu lama masih terus beroperasi seperti biasa pada setiap hari Ahad.

Kewujudan tamu baru itu juga diharap mampu menarik lebih ramai pengunjung datang ke daerah Tongod sekali gus dapat memperkenalkan Tongod kepada masyarakat.

Terdahulu, wakil rakyat Kuamut Masiung Banah ketika berucap merasmikan Tapak Tamu Pekan Tongod, Program Kesedaran Jenayah dan Mini Karnival NBOSS 6 SPKA Peringkat Daerah Tongod menggesa penduduk dalam DUN Kuamut menggunakan sepenuhnya Tamu tersebut sebagai saluran penjana ekonomi mereka.

Katanya, perkara itu penting kerana tamu yang disediakan kerajaan itu bukan sahaja mampu menjadi pemangkin pembangunan di kawasan itu sebaliknya sebagai sebuah lokasi   meningkatkan ekonomi keluarga penduduk luar bandar.

Menurutnya, selain itu agensi kerajaan juga di minta turut sama menjadikan tamu baru itu sebagai lokasi transit kepada penduduk dalam DUN Kuamut untuk berurusan dengan penjawat awam.

Hadir sama pada majlis, Pegawai Daerah Tongod, Thomas Logijin; Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Martin Lugu dan Pegawai Kesihatan Kawasan Kinabatangan, Doktor Johar Awang Besar.


Katanya, penduduk yang tinggal jauh dari pekan Tongod boleh mengambil peluang ketika ke tamu untuk terus ke pejabat agensi-agensi kerajaan untuk berurusan sekali gus menyelesaikan masalah yang tertangguh.

Masiung berkata, kewujudan tamu baru itu juga mampu menjadikan Tongod lebih dikenali ramai melalui penjualan hasil pertanian, perikanan dan kraf tangan yang diusahakan penduduk.

Jelasnya, ia secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung dari luar untuk berkunjung ke tamu tersebut sekali gus memperkenalkan daerah itu kepada umum.

Dalam perkembangan lain, Masiung menyarankan agar Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Kuamut membuka kaunter di tamu baru itu bagi mengambil peluang bersemuka dengan penduduk setempat mendengar maslalah yang dihadapi.

Sementara itu, Pegawai Daerah Tongod, Thomas Logijin pula berkata, pembukaan tamu kedua di daerah Tongod sebagai serampang dua mata dalam memacu ekonomi penduduk dan Tongod.

Beliau berkata, ini kerana melalui pembukaan tamu baru di daerah itu bukan sahaja mampu memacu ekonomi penduduk malah mampu membawa pembangunan ke daerah itu.

Menurutnya, operasi tamu baru di pekan itu juga akan dilaksanakan pada hari khamis setiap minggu bagi memudahkan penduduk dari kawasan pedalaman berurusan di Pejabat Daerah Tongod selain menjual hasil pertanian yang diusahakan.




Dalam perkembangan lain Thomas turut berkata, kerja-kerja menaik taraf jalan dari Tongod ke Penangah sejauh 32 kilometer dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2013.

Beliau berkata, ketika ini pihak kontraktor bertanggungjawab turut sedang menaiktaraf jalan dari Linayukan ke Menanam sejauh 12 kilometer selain jalan dari Maliau ke Saguon sejauh 6 kilometer.

Thomas berkata, apabila siap kelak ia akan memberi kemudahan kepada lebih 5-ribu penduduk di sepanjang jalan tersebut bagi mengeluarkan hasil pertanian yang diusahakan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Martin Lugu ketika berucap alu-aluan pada majlis itu akan cuba membuka kaunter pada setiap khamis di tapak tamu itu untuk bertemu orang ramai dalam memberi kesedaran tentang jenayah di kawasan itu.

Jelasnya, ia juga bagi memudahkan penduduk luar bandar mengajukan masalah jenayah yang berlaku di kawasan mereka.

Martin berkata, ia juga antara lain bagi memastikan indeks jenayah di kawasan Tongod dapat dikurangkan, walaupun jenayah yang berlaku di kawasan itu adalah lebih kecil berbanding di kawasan lain

Manakala, Pegawai Kesihatan Kawasan Kinabatangan, Doktor Johari Awang Besar berkata, pihaknya mengadakan program NBOSS 6 SPKA adalah bagi memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat luar Bandar tentang pentingnya mengurangkan penyakit bawaan vector khususnya penyakit Malaria dan TIB

Jelasnya, usaha tersebut akan teruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kesihatan penduduk luar bandar setaraf dengan penduduk bandar.

Sempena program itu, pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam gerai pameran antaranya daripada Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, PDRM Kinabatangan, Agensi Antidadah Kebangsaan Sandakan, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan selain jualan hasil pertanian daripada penduduk setempat.

No comments:

Post a Comment