Sunday 23 December 2012

TAPISAN SPRM, KAEDAH TEPAT PILIH CALON BERSIH






KUALA LUMPUR : Calon Barisan Nasional (BN) yang melalui proses tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dimuktamadkan merupakan kaedah tepat untuk pilih calon bersih di samping memberi imej lebih baik kepada parti.

Pemimpin parti, pemerhati dan penganalisis politik berpendapat langkah itu akan dapat membantu BN mencari calon yang benar-benar layak untuk menerajui perjuangan parti.

Pemerhati politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata kaedah itu akan membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN membuat pilihan tepat dengan memilih calon yang bersih daripada sebarang tuduhan dan sangkaan negatif.

“Rekod yang baik perlu ada sebagai ciri-ciri seorang calon 'winnable candidate' bagi memenuhi janji Najib mencari calon yang benar-benar layak untuk menerajui perjuangan BN,” kata Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN) itu kepada Bernama.

Baru-baru ini, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaafar mencadangkan agar kerajaan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon mereka kepada SPRM terlebih dahulu untuk ditapis bagi memastikan mereka 'bersih' selain mengelak sebarang tohmahan.

“Tapisan SPRM ini sebagai langkah awal membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan amat teliti dalam memilih calon yang akan membela rakyat selain memberi jaminan bahawa calon yang dipilih sememangnya boleh diharap,” kata Dr Zainal. Beliau berkata BN perlu meletakkan syarat yang tinggi bagi seseorang calon untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan BN untuk terus memerintah negara ini.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata calon yang melepasi tapisan SPRM akan memberikan gambaran positif kepada rakyat.

Langkah itu bertepatan kerana semua orang akan cuba menonjolkan diri untuk menjadi 'calon boleh menang' tetapi apabila keputusan tapisan dikeluarkan SPRM, mereka perlu akur, kata pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Bagaimanapun, beliau yakin kebanyakan calon sememangnya layak tetapi tapisan itu akan menonjolkan lagi kredibiliti seseorang calon yang dipilih.

Umno dan BN katanya memerlukan calon boleh menang serta layak untuk terus berjuang setelah pemimpin terdahulu berjaya mencapai kemajuan sejak merdeka hasil kebijaksanaan mereka mentadbir negara untuk kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata proses tapisan itu dapat membuktikan bahawa seseorang calon benar-benar telus dan layak untuk bertanding.

“Ia adalah satu langkah yang baik agar dapat mengelak masalah lebih besar serta menyusahkan rakyat jika calon tersebut bermasalah dan terbabit rasuah selepas pilihan raya berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosnah berkata penapisan berkenaan juga akan menambah lagi keyakinan rakyat terhadap calon tersebut.

Di KUCHING, Anggota Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim berkata proses tapisan itu akan membantu menaikkan imej BN.

“Kita tidak mahu calon yang mempunyai perlakuan tersembunyi,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment