Wednesday, December 12, 2012

TM TAWAR RM1,000 LAPOR KES CURI KABEL






KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia (TM) menawarkan RM1,000 kepada orang ramai yang melaporkan sebarang kes kecurian kabel dalam usahanya mencegah kejadian tersebut sehingga mengakibatkan kerugian beribu ringgit kepada syarikat itu.

Pengurus Besar TM Kuala Lumpur R. Manivannan berkata, tawaran tersebut juga terbuka kepada anggota polis, individu dan kumpulan yang dapat menahan suspek terbabit sehingga kes itu dibuktikan bersalah di mahkamah.

"Sehingga Oktober tahun ini, di Kuala Lumpur sahaja, TM menanggung kerugian sehingga RM891,110 melibatkan 63 kes curi kabel.

"Sebanyak RM471,927.79 pula terpaksa ditanggung syarikat kami yang melibatkan 30 kes pada tahun lepas," katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen Pencegahan Kecurian Kabel TMKL bersama Polis KL di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pusat Media Polis Kuala Lumpur ACP Rasdi Ramli.

Manivannan berkata, TM sebelum ini menggunakan sistem penggera I-Watch yang akan mengesan sebarang kes kecurian kabel, namun ia kurang berhasil.

"I-Watch ini macam 'alarm' system. Bila ada orang potong kabel tu, kita tahulah di mana lokasi dia potong kabel tu... walaupun sistem ini beroperasi dengan baik, namun masih berlaku kes kecurian kabel," katanya sambil menambah satu meter kabel yang dicuri, dijual sehingga RM300 di pasaran gelap.

Sementara itu, Rasdi berkata program hari ini akan memberi taklimat, ceramah dan penerangan terperinci kepada peserta termasuk anggota polis mengenai jenis kabel dan bagaimana kecurian dilakukan.

"Pihak TM juga akan memberi penerangan bagaimana untuk mengenal pasti seseorang yang berada di sesebuah kawasan itu, sama ada dia adalah kontraktor TM atau sebaliknya.

"Seseorang yang berada di sesebuah kawasan, yang melibatkan kerja-kerja melibatkan kabel ini, perlu menunjuk atau mempamerkan dokumen yang dibekalkan kepada mereka. Jika tidak, pihak polis boleh mengambil tindakan ke atas mereka," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment