Sunday 16 December 2012

UPKR SILAM SEMAKIN CEMERLANG






KENANGAN......Nasrun (tengah) Suhaili (kiri) dan Nilwan (kanan) duduk bersama semasa sidang media selepas program berkenaan.

Oleh: RIDZAL ABDULLAH

LAHAD DATU : Lebih 1,000 hadir dalam majlis makan malam tahunan bersama Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, dekat sini malam kelmarin.

Majlis yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur itu telah dihadiri oleh ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, ketua-ketua kampung, Pengerusi Jawatankuasa Ketua Kampung (JKKK) dan orang ramai.

Nasrun yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu berkata, kerjasama erat diantara kakitangan pegawai UPKR dan pegawai-pegawai kerajaan telah menghasilkan mutu pentadbiran dan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat di daerah itu.

“Saya amat berpuas hati dan gembira dengan hasil kerjasama yang cukup baik diantara UPKR dan jabatan-jabatan kerajaan di daerah ini...digandingkan bersama dengan pemimpin masyarakat seperti ketua-ketua kampung dan pengerusi JKKK telah menjadikan kualiti pentadbiran dan perkhidmatan yang cemerlang demi kebaikan rakyat,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, sambutan pada majlis makan malam itu amat luar biasa dan menunjukkan semangat yang berkobar-kobar dikalangan jemputan.

“Saya amat terharu dan mengucapkan terima kasih dengan kehadiran yang begitu ramai... ini menunjukkan perpaduan dan persahabatan diantara kita tetap utuh dari dahulu hingga ke saat ini,” ujar Nasrun yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Silam.

Dalam pada itu beliau ketika ditanya mengenai persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 beliau menyatakan Umno Bahagian Silam telah bersedia untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa sahaja.

“Ini kerana kita telah membuat persiapan sejak sebelum pertengahan tahun ini...jentera telah digerakkan melalui Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing dan telah mengenal pasti ahli-ahli dan membuat semakan daftar pengundi,” jelasnya semasa sidang media sejurus selepas majlis itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) parlimen Silam itu juga berkata, kerjasama daripada pihak parti-parti komponen juga sangat baik tanpa sebarang masalah.

Turut hadir dalam majlis itu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Zulkifli Nasir, Penolongnya, Juraimin Jadil,Timbalan Ketua Bahagian Umno Silam yang juga Adun Tungku, Datuk Mohd.Suhaili Said, Bendahari Umno Silam yang juga Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang, Ketua Wanita Umno Silam, Saleha Wahid, Ketua Pergerakan Puteri Umno Silam, Mizma Appehdullah, Ketua Parti Gerakan Silam, Stanley Chin, wakil-wakil dari parti komponen.

No comments:

Post a Comment