Oleh : TEAM MALAYSIAKINI
PUSAT bandar Kuala Lumpur
dibanjiri 100,000 penyokong Pakatan Rakyat yang hadir ke Himpunan Kebangkitan
Rakyat di Stadium Merdeka - himpunan paling besar anjuran gabungan parti
tersebut bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Penganjur mengharapkan
kehadiran besar ke perhimpunan itu akan mempengaruhi golongan pengundi atas
pagar.
Pentadbiran Datuk Seri Najib
Razak dilihat mengambil pendekatan berbeza bagi perhimpunan kali ini dengan
memastikan tiada insiden tidak diingini.
Pihak berkuasa membenarkan
Pakatan menggunakan lokasi bersejarah Stadium Merdeka, dan polis turut
mensasarkan 'kecelakaan sifar' bagi perhimpunan berkenaan.
Penganjur menguji sikap baru
yang ditunjukkan pihak berkuasa ini dengan berjalan kaki dalam kumpulan besar
menuju ke Stadium Merdeka, bermula dari tujuh lokasi, sebelum perhimpunan bermula pada jam 2 petang.
LAPORAN LANGSUNG
5pm: Anggota sekretariat
penganjur Hishamuddin Rais mendakwa perhimpunan hari ini berjaya mengumpulkan
500,000 orang.
4.51pm: Azan Asar
berkumandang ketika acara sampai ke penghujungnya.
Para peserta menyanyikan
lagi Negaraku sebelum bersurai.
4.43pm: Mursyidul am PAS
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin bacaan doa bagi mengakhiri Himpunan
Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka.
4.38pm: MP PKR Datuk
Saifuddin Nasution mengetuai bacaan Deklarasi Himpunan Kebangkitan Rakyat yang
diikuti para peserta di dalam stadium.
Deklarasi berkenaan antara
lainnya menyentuh tuntutan untuk pilihan raya bersih dan adil, tindakan untuk
"menyelamatkan Felda" serta menjamin hak untuk warga Sabah dan
Sarawak.
Ia juga menyenaraikan
tuntutan untuk bayaran 20% royalti minyak, serta menjamin masa depan penjawat
awam.
Selain itu, ia menggariskan
tuntutan untuk alam sekitar yang bersih dan siihat, memperkukuh bahasa
kebangsaan dan bahasa ibunda, membebaskan tahanan politik, menyelamatkan
kampung warisan dan kampung tradisi, dan juga meningkatkan kualiti hidup
golongan wanita.
4.20pm: Ketua Polis Daerah
Dang Wangi Zainuddin Ahmad mendakwa jumlah peserta perhimpunan pada hari ini
dianggarkan antara 40,000 hingga 45,000 orang.
Jumlah itu berkurangan
hampir separuh daripada anggaran sebelumnya, sebanyak 80,000 yang diumumkan
PDRM di Twitter.
Jumlah 80,000 itu menurut
polis adalah 'kesilapan teknikal'.
"Dari bacaan saya,
perhimpunan dihadiri oleh lebih kurang 40,000 hingga 45,000 orang," kata
Zainuddin dalam sidang media petang ini.
Tambahnya, polis juga tidak
melakukan apa-apa tangkapan ke atas mana-mana pihak berhubung perhimpunan
tersebut.
"Sehingga kini,
himpunan kebangkitan rakyat tidak ada apa-apa kejadian yang tak diingini.
Keselamatan di tahap yang terjamin.
"Semua polis yang
ditugaskan dapat laksana tugas dan tanggungjawab dengan sempurna, tanpa apa-apa
insiden yang tidak diingini.
"Keadaan lalu lintas,
cuma kesesakan sedikit di Jalan Maharajalela dan sekitar jalan menuju ke
Stadium Merdeka. Walaubagaimanapun, Jalan Raja, Jalan Lebuh Pasar dan Jalan
Maharajalela menuju ke Dataran Merdeka masih ditutup," katanya.
4.14pm: Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam ucapannya meminta rakyat memberi peluang kepada Pakatan Rakyat
untuk memimpin kerajaan.
"Masa sekarang yang
kita minta ialah beri peluang supaya ada suara rakyat menjadi suara keramat
mentadbir negara ini. Suara rakyat, suara keramat," katanya.
Dalam ucapannya, beliau
turut mengulangi janji-janji Pakatan sebelum ini tentang pembatalan PTPTN serta
menurunkan harga minyak.
Beliau turut mengulangi akan
mendengar dan peka dengan semua tuntutan rakyat.
Selain itu, Anwar menyentuh
isu berhubung sebidang tanah yang dikaitkan dengan ketua Wanita Umno Selangor
Datuk Raja Ropiaah.
Katanya, kerajaan negeri
Selangor tidak akan sesekali membenarkan tanah itu dimajukan.
Anwar mengakhiri ucapannya
dengan laungan "Merdeka" beberapa kali yang diikuti para hadirin.
3.51pm: Presiden PAS Datuk
Seri Abdul Hadi Awang memulakan ucapan.
3.38pm: Polis menyatakan
bahawa anggaran jumlah peserta seramai 80,000 adalah 'kesilapan teknikal'.
Tulisan terbaru di Twitter
polis menyebut, jumlah berkenaan akan diumumkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur
atau Ketua Polis Daerah.
3.30pm: Sebagai tindakan
balas kepada dakwaan bahawa peserta telah dibayar RM150 untuk menghadiri
perhimpunan tersebut, pihak penganjur mula mengutip derma daripada orang ramai.
Ramai dilihat mengeluarkan
wang dari poket mereka dan memasukkannya ke dalam beg plastik yang pegang oleh
anggota Unit Amal.
3.30pm: Ketua Menteri Pulau
Pinang Lim Guan Eng dalam ucapannya menyentuh isu kamera AES dan bayaran BR1M
oleh kerajaan persektuan.
Beliau menyifatkan bayaran
dan saman itu seperti "tangan kanan memberi, tangan kiri ambil
balik".
3.29pm: Di luar stadium,
sesetengah peserta dilihat bersalaman dengan anggota polis sebagai menghargai
khidmat mereka. Seorang peserta dari Sungai Petani dilihat mengucapkan terima
kasih kepada anggota berkenaan sebelum bergegas untuk menaiki bas pulang. Polis
membalas dengan senyuman mesra.
"Pihak polis baik hari
ini. Mereka tidak mengganggu perhimpunan kami berbanding masa lalu,
"katanya.
3.22pm: Mohamad Sabu dalam
ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan
perhimpunan hari ini, termasuk PDRM.
"Ini himpunan akhir
sebelum kita ke Putrajaya," katanya yang disambut sorakan hadirin.
Beliau turut bertanya kepada
orang ramai sama ada mereka menerima bayaran untuk hadir ke perhimpunan hari
ini.
Dakawaan itu dikesan dalam
satu SMS yang berlegar pada hari ini.
"Adakah anda dibayar
RM150?", tanya Mat Sabu, sambil disambut laungan "Tidak" oleh para
hadirin.
"Saya bukan nak bayar
RM150 tapi saya nak minta duit dari tuan-tuan. Sekarang saya nak minta
kutipan," kata Timbalan Presiden PAS itu lagi.
3.20pm: Pengerusi penganjur
himpunan Mohamad Sabu ketika ditemui Malaysiakini berkata satu SMS yang dikesan
tersebar hari ini sebagai satu "pembohongan".
SMS itu didakwa menggesa
peserta himpunan untuk mendapatkan wang dari ibu pejabat PKR.
3.13pm: Sasterawan Negara
Datuk A Samad Said menyampaikan sebuah sajak yang bertajuk "Di atas padang
sejarah".
Sebelum mendeklamasikan
sajak, A Samad memberitahu bahawa beliau memang ingin melihat lautan manusia.
Beliau turut meminta ribuan
yang hadir di Stadium Merdeka hari ini untuk "ubah".
"Dalam hidup saya yang
sudah berusia 80 tahun, saya memang mengimpikan lihat lautan insan.
"Yang ini... Ubah
sekarang," katanya.
3.04pm: Para peserta di
dalam stadium bergilir-gilir bangun dan membuat gelombang ombak ketika Ito
daripada kumpulan Blues Gang menyampaikan sebuah lagu yang bertajuk
"Ubah".
3.00pm: Pengerusi PersatuanAnak
Peneroka Felda (ANAK), Mazlan Aliman sedang berucap.
Sebelum berucap beliau
melaungkan 'Undur Isa Samad".
Mazlan berkata, warga Felda
sedang bangkit untuk melakukan perubahan.
"Hari ini warga Felda
sedang bangkit untuk nyahkan dan lakukan perubahan.
"Selama ini BN berkuasa
kerana sokongan besar. Insya-Allah ini kali warga Felda akan bangkit dan menuju
ke Putrajaya," katanya.
2.51pm: Menurut Twitter
terkini polis, stadium dipenuhi oleh kira-kira 80,000 orang pada jam 2.45pm.
2.50pm: Pengerusi Bersama
BERSIH, Datuk S Ambiga menyampaikan ucapan. Beliau berkata, BERSIH merupakan
NGO berjuang untuk rakyat dan tidak memihak kepada mana-mana parti.
Menurutnya lagi, BERSIH
adalah untuk memelihara hak rakyat dan PRU akan datang.
"Kita tak memihak kepada
mana-mana parti. Kita berjuang untuk rakyat. Saya harap anda semua akan keluar
mengundi pada PRU13," katanya.
2.40pm: Setiausaha Agung DAP
Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang dan pengerusi DAP Karpal
Singh baru tiba dan masuk ke dalam stadium.
2.31pm: Wakil daripada bekas
anggota tentera KERABAT, yang menegaskan anggota tentera bukanlah balaci kepada
BN. Ia disambut dengan laungan reformasi dan sorakan para hadirin.
2.30pm: Datuk Seri Anwar
Ibrahim sampai ke stadium, disambut dengan laungan reformasi. Beliau melambai
pada hadirin.
2.25pm: Kumpulan baru
peserta himpunan yang sebahagiannya berbaju kuning logo BERSIH dan membawa
bendera PAS mula bergerak dari Masjid Negara menuju ke Stadium Merdeka.
Jumlah mereka dianggarkan seramai
kira-kira 3,000 orang dan pergerakan mereka memenuhi jalan menuju ke Stadium
Merdeka.
Mereka berjalan sambil
melaungkan 'Reformasi' dan bertakbir.
Turut kelihatan di antara
peserta adalah seorang lelaki berkerusi roda, Mohamad Yusof yang datang dari
Ijok untuk menyertai himpunan ini.
2.15pm: Wakil Orang Asli
dari Semenanjung, Tijah Yak Chopil, berucap. Beliau berkata, hak Orang Aslli
dinafikan serta banyak tanah Orang Asli telah dirampas.
Katanya, hari ini juga patut
diingat dalam sejarah. Hak Orang Asli juga jangan dinafikan tetapi perlu
dilayan sama adil.
Turut kelihatan ialah
Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga dan Naib Presiden PKR, N Surendran.
2.10pm: Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang serta Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali tiba dan
masuk ke dalam stadium.
2.08pm: Wakil PAS dari
Johor, Suhaizan Kaiat sedang berucap. Setiap pemimpin menyampaikan ucapan
kira-kira dua minit.
Dalam ucapannya, Suhaizan
menyentuh beberapa perkara, iaitu mengenai Pulau Batu Putih dan projek Iskandar
di Johor.
1:54pm: Stadium Merdeka -
Himpunan dimulakan dengan ucapan MP DAP Anthony Loke dalam bahasa Cina dan
bahasa Melayu.
Beliau antara lainnya
meminta orang ramai supaya menumbangkan kerajaan BN.
"Najib berhimpun di
Tesco Semenyih. Kita di Stadium Merdeka dan kita bangkit untuk lawan BN,"
katanya.
Turut kelihatan ialah
Presiden Ikatan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.
1.45pm: Stadium Merdeka -
seorang peniaga kebab Mansur Ahmad, 56, berkata kesemua 500 kebabnya sudah
habis dijual.
"Hari ini saya ada sekurang-kurangnya
RM1,000 dalam kocek," kata peniaga itu dengan gembira.
Katanya, beliau mula membuka
gerai di Kelab Sultan Sulaiman ketika perhimpunan pada malam tadi.
Anaknya, Faeza Mansor, 28,
yang berniaga mi sup di sebelah gerainya berkata perniagaannya amat luar biasa
hari ini.
Beliau menjangkakan akan
berjaya menjual 100 mangkuk mi sup hari ini.
1.34pm: Jalan Petaling/Jalan
Maharajalela - Exco AMK pusat merangkap komandan lapangan Ramlan Roes berkata
beliau curiga dengan kegiatan sekumpulan tiga lelaki dan seorang wanita
berpakaian baju-T biru AMK yang didakwanya sedang merakam video peserta yang
masuk ke stadium.
Beliau mengesyaki bahawa
individu berkenaan bukan anggota AMK kerana individu berkenaan menutup muka
dengan bandana dan tindak-tanduk mereka juga mencurigakan dan merisaukan
anggota AMK, kata Ramlan.
1.30pm: Jalan Sultan -
Seramai 15,000 peserta yang dianggarkan berada di kawasan ini terus melaungkan
slogan "Royalti", "Puyau Lynas", Hidup peneroka" dan
"Bangkit rakyat".
Kumpulan peserta yang berada
di luar kawasan Stadium Merdeka pula berada dalam keadaan tenang dan tidak
membuat bising.
1.17pm: Jalan Sultan -
Kumpulan aktivis SAMM menyertai kumpulan besar yang berada di Jalan Sultan.
Aktivis Royalti dan ANAK
pula memenuhi Jalan Tun Perak selepas melalui Jalan Tun HS Lee dan kini
menghampiri Pudu Raya.
1.11pm: Dang Wangi - Polis
berkata mereka membenarkan peserta memasuki Stadium Merdeka lebih awal kerana
penganjur menyewa stadium untuk sehari suntuk.
1:00pm: Jalan Tun Perak -
Kumpulan aktivis SAMM melalui kawasan di hadapan Menara Maybank untuk menuju ke
Jalan Sultan.
Sambil berarak mereka
melaungkan slogan "Bangkit rakyat", "Kita lawan, rejim
korup" dan ada juga yang membawa poster anti-PTPTN dan dengan slogan
"Keadilan untuk Teoh Beng Hock".
Sementara itu naib presiden
PAS Datuk Husam Musa di Jalan Ampang, dalam ucapannya mendesak Datuk Seri Najib
Razak menjawab dakwaan yang ditimbulkan Deepak.
"Jawab isu Altantuya,
kenapa berdiam diri. Kalau isu kesihatan dia boleh jawab, tapi isu Altantuya
dia senyap," katanya.
Menyentuh isu royalti,
beliau mencabar MP Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menyertai forum bagi
membincangkan dakwaan beliau bahawa negara akan bankrap sekiranya royalti 20
peratus kepada lima negeri - Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.
"Pemimpin umno yang
otaknya bankrap akan membankrapkan negara. Royalti 20 peratus kaum Bidayuh,
Kadazan, orang miskin di Terengganu, Kelantan, Pahang akan menikmatinya dan
mengharap kebangkitan kita," katanya.
12.48: LRT Pasar Seni -
Hujan rintik-rintik mula turun ketika ratusan penyokong berjalan ke stadium.
Kebanyakannnya mengenaikan pakaian berwarna kuning - warna BERSIH, serta hijau
- warna Himpunan Hijau.
12.45pm: Masjid Negara -
Kumpulan dari Brickfields, UM dan Amcorp Mall bergabung dengan kumpulan di
Masjid Negara dan menuju ke Stadium Merdeka melalui Jalan Syed Putra.
12,36pm: Lebuh Ampang -
Kumpulan aktivis Royalti tidak bergabung dengan aktivis SAMM yang berjalan dari
kawasan Kampung Baru.
Mereka terpisah sejauh
kira-kira 70 meter. Aktivis Royalti menunggu aktivis SAMM untuk mula bergerak
terlebih dahulu.
Kumpulan aktivis Royalti
bersama aktivisi ANAK itu melaungkan slogan "Pulangkan royalti"
sambil menunggu.
12.33pm: KLCC - Peserta
bergerak memasuki Jalan Ampang selepas berhenti di persimpangan Jalan Sultan
Ismail sambil melaungkan "Hidup rakyat" dan "Bangkit
rakyat".
Pemandu kenderaan turut
membunyikan hon kenderaan masing-masing dengan disambut sorakan oleh peserta.
Lalulintas di kawasan itu
dikawal polis trafik.
12.25pm: LRT PWTC - Tiga
orang yang datang dari Sabah berkata mereka masing-masing membelanjakan RM750
untuk menyertai perhimpunan hari ini.
Abdul Momin, 43, berkata ini
adalah kali pertama beliau berada di Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan.
"Saya datang kerana
saya mahu tunjukkan bahawa rakyat Sabah untuk terlibat dalam usaya untuk
perubahan.
Bekas anggota Umno itu
berkata beliau menyertai Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah yang diketuai MP
Beaufort Lajim Ukin.
12.20pm: Tiga trak pikap
dengan pelekat 'Tim Medik' mengiringi peserta himpunan sepanjang jalan dari
Brickfields menuju ke
kawasan stesen keretapi lama
Kuala Lumpur.
12.15pm: Dianggarkan 10,000
orang telah memasuki Stadium Merdeka dan mendapat kerusi untuk duduk.
Kira-kira satu pertiga
stadium telah dipenuhi peserta perhimpunan. Sesetengahnya meniup tanduk
Vevezula dan sesetengah daripada mereka menjerit slogan seperti
"reformasi" dalam semangat yang tinggi.
Majoriti orang ramai yang
berpakaian baju kuning dan hijau, yang mewakili BERSIH dan HimpunanHijau.
Bgaimanapun sesetengah
daripada mereka juga memakai baju warna merah dan hitam dengan perkataan
"Royalti", merujuk kepada Pergerakan Royalti Minyak Kelantan.
12.12pm: Jalan Ampang -
Kumpulan yang diketuai Chegu Bard kini melalui Jalan Ampang menuju ke Jalan
Gereja. Kedai-kedai di sekitar Jalan Ampang juga kelihatan beroperasi seperti
biasa.
Menurut seorang peniaga
kedai runcit di Jalan Ampang, Iskandar, beliau maklum tentang perhimpunan yang
akan diadakan hari ini.
"Saya tak tutup. Sebab
mereka tak kacau saya berniaga," katanya.
Sementara itu seorang warga
emas, Osman Mamat, 65, dari Maran Pahang berkata, beliau sanggup hadir ke Kuala
Lumpur bagi menyertai perhimpunan ini demi menuntut keadilan.
Beliau yang berjalan sambil
menemani isteri berkata, dia tidak kisah berjalan demi keadilan.
"Demi keadilan, saya
jalan jauh pun tak apa. Saya tak ada sakit apa-apa. Saya memang datang
semata-mata untuk perhimpunan ini," katanya.
12.15pm: Jumlah orang ramai
yang bergerak dari KLCC ke Stadium Merdeka mencecah sekitar 10,000 orang.
11.58am: KLCC - Lebih 3,000
mula bergerak ke Stadium Merdeka sambil melaungkan hidup rakyat. Pemimpin
pakatan antaranya Datuk Kamrudin Jaafar dan Datuk Teng Chang Kim mengetuia
perarakan.
11.57am: Stadium Merdeka -
Anggota Unit Amal kelihatan membawa masuk orang ramai ke dalam stadium secara
berperingkat.
Manakala ribuan lagi beratur
di depan pintu utama untuk dibawa masuk ke dalam stadium.
12.02pm: Stadium Merdeka -
Pengerusi sekretariat Mohamad Sabu berkata penganjur tidak akan melayani
permintaan Deepak Jaikishan untuk berucap di Stadium Merdeka.
"Tak adalah, kita sudah
ada banyak NGO nak cakap, tak ada ruang, tak adalah," katanya.
12.00pm: Jalan Sultan -
Presiden Himpunan Hijau Wong Tack muncul dengan aktivis gerakan tersebut dengan
membawa bendera hijau besar, kain rentang dan poster.
Beliau mengetui orang ramai
menyanyi lagu "Suara Rakyat" dan 'Rasa Sayang', kemudian orang ramai
mendengar ucapan beliau.
Dalam ucapannya, beliau
menyifatkan Malaysia seperti dilahirkan semula hari ini dan hari ini adalah
hari kemderdekaan sebenar bagi Malaysia.
"Kami berada di sini
untuk meraikan Malaysia baru, esok negara kita akan penuh dengan harapan
baru," katanya.
Beliau menyifatkan suasana
hari ini seperti Hari Kebangsaan.
11.50am: stadium merdeka -
Selepas pengumuman oleh juruacara Hishammuddin Rais, orang ramai mula bergerak
masuk ke stadium.
Timbalan Presiden PAS, yang
juga pengerusi urusetia penganjur turut kelihatan di situ.
11.48am: KLCC kira-kira 2500
peserta berada di sini sedang berhimpun untuk mendengar ucapan Dr Dzulkefli dan
pemimpin Royalti Nazri Deraman yang antara lain menuntut supaya royalti
kelantan dan terengganu dipulangkan kepada rakyat. Malah mereka membantah
penyenaraian FGVH di Bursa.
"Hari ini hari
bersejarah KL112 menghimpunkan seluruh bantahan rakyat untuk menjadikan
Malaysia lebih baik, untuk melakukan perubahan.
"Kita tuntut royalti
yang dinafikan di Kelantan dan Terengganu yang selama ini di khianati... Kita
juga mahu hak peneroka (ditunaikan)," kata Dr Dzulkefly
Turut hadir di sini adalah
Mazlan Aliman dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Teng Chang Kim.
Mereka juga melaungkan
"Pulangkan Royalti, Kami tuntut royalti, Ini hak Rakyat".
11.45am: Stadium Merdeka -
Orang ramai dari Masjid Negara telah tiba di Stadium Merdeka. Gerai menjual
minuman di sepanjang rancak berniaga.
11:35am: Masjid Negara -
Kira-kira 10,000 orang mula berarak dari Masjid Negara dan sampai di Dewan
Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH), tidak jauh dari Stadium
Merdeka.
11.00am: Little India,
Brickfields - Terdapat kira-kira 60 orang berhimpun di situ. Perniagaan di situ
adalah seperti biasa. Tidak jelas sama ada ini menunjukkan sokongan dingin masyarakat
India yang biasanya akan berhimpun di sini untuk menghadiri perhimpunan.
Sebuah bas polis diletakkan
di tepi jalan. Hanya lima anggota di lihat di situ.
10.47am: Jalan Sultan -
Perhimpunan ini telah menemukan Eric Chong dari Kuala Lumpur dan Raymond Toh
dari Pulau Pinang. Mereka menjadi kawan apabila bertemu semasa membeli baju-T
dan barangan lain pagi ini.ini.
Chong, 60, (kiri) yang
bekerja di sebuah kilang, kerap menghadiri perhimpunan. Katanya, kedua-dua
mereka berjanji untuk bersama-sama menghadiri perhimpunan raksasa yang akan
datang.
"Kami berkongsi
pandangan yang sama, kamik adalah bersaudara," kata Chong.
Sementara itu, Toh, 38, seorang
pemborong, dan Chong bangga menghadiri perhimpunan hari ini atas perbelanjaan
mereka sendiri.
10.55am: Masjid Al-Rahman -
Peserta dari Amcorp Mall tiba di kawasan masjid dan bergabung dengan kumpulan
diketuai Nurul Izzah. Mereka kini berjalan menuju ke Brickfields.
Kumpulan diketuai Nurul
Izzah rata-taranya terdiri daripada golongan siswa yang turut membawa sepanduk
dengan tulisan 'Mahasiswa mahu tukar kerajaan'.
10.50am: KLCC - Kira-kira
1,000 peserta termasuk aktivis Royalti dan Persatuan Anak Peneroka Felda
memenuhi kawasan sekitar KLCC.
Mereka pengerusi menunggu
kehadian pengerusi ANAK Mazlan Aliman serta pemiupin PAS Dr Dzulkefly Ahmad
yang akan mengetuai peserta ke Dataran Merdeka.
10:45am: Stadium Merdeka -
ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishian muncul di pintu masuk stadium,
kira-kira tiga jam sebelum perhimpunan tersebut dijadual memulakan.
Berbaju-T dan sepasang kasut
sukan hijau, beliau merancang untuk berarak bersama-sama dengan pemimpin dan
penyokong PAS dari ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut pada jam 11 pagi.
Kumpulan itu dianggarkan sampai ke stadium sebelum pukul 2pm.
"Saya ke sini untuk
menunjukkan sokongan saya kepada semua rakyat Malaysia. Kami datang
bersama-sama untuk menuntut bahawa kerajaan perlu mengadakan pilihan raya yang
bebas dan adil. Orang ramai telah sedar - ini bukan tsunami, ini adalah gempa
bumi.
Apabila ditanya sama ada dia
mahu berucap di atas pentas lewat petang ini, beliau menjawab: "Jika saya
diberi peluang, ya."
Kehadiran Deepak menarik
perhatian orang ramai, yang antaranya mengambil peluang untuk bergambar
dengannya.
10:40am: Jalan Thambipillay
4, Brickfields - Kartunis Zunar mengetuai kumpulan kira-kira 100 orang belia di
tepi jalan dalam melaungkan "Hidup, Hidup, Hidup Rakyat".
Mereka juga melaungkan
"Hancur" terhadap beberapa personaliti termasuk Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor beliau.
Berpakaian kemeja-T kuning,
mereka memegang sepanduk yang bertulis "Kumpulan Kartunis
Independen". Beberapa kenderaan yang lalu-lalang di situ turut membunyikan
hon sokongan.
10:30am: KLCC - Pelakon
drama Gerak Khas, Abby Abadi adalah antara penyokong Royalti. Berpakaian jubah
hitam dan tudung ungu, dia bergambar bersama-sama dengan ahli NGO di kawasan
KLCC dan menjadi tumpuan kamera media.
10.15am: Jalan Sultan -
Sekumpulan penyokong DAP membuat tarian ala-Gangang dengan iringan lagu popular
Korea itu yang disesuaikan dengan lirik anti-Lynas.
Ahli DAP Chua Beng Hooi, 47,
yang memakai satu kostum anti-radioaktif menyertai tarian tersebut, yang
disaksikan kira-kira 500 orang yang berhimpun.
Menurut rakannya, Chua
membuat kostum berkenaan khas untuk perhimpunan hari ini.
9.55am: Stadium Merdeka -
Lokasi perhimpunan Stadium Merdeka masih ditutup kepada umum namun sebilangan
penyokong sudahpun berada di dalam stadium untuk membuat persiapan.
Gerai jualan juga dibuka di
kawasan jalan menuju ke stadium berkenaan.
Sementara itu, seramai 2,000
orang penyokong Pakatan sudahpun mula memenuhi kawasan di sekitar stadium.
9.45am: Masjid Al-Rahman -
MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar baru tiba ke kawasan Masjid Al-Rahman dan
disambut kira-kira 50 orang peserta yang sedang bersedia untuk berjalan ke
Stadium Merdeka.
Kumpulan ini menunggu untuk
bergabung dengan satu lagi kumpulan diketuai AMK, yang berhimpun di kawasaan
padang berhampiran Amcorp Mall dan berjalan melalui Lebuh raya Persekutuan.
9.37am: Kelab Sultan
Sulaiman - Keadaan lalu lintas di Kelab Sultan Sulaiman dan kumpulan orang
ramai berpakaian hijau dan kuning dilihat sedang duduk di kaki lima.
Selain itu turut kelihatan
gerai menjual baju sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat.
9.20am: Masjid Negara -
Kawasan masjid mula dipenuhi oleh ramai peserta yang memakai baju kuning, dan
hijau sehingga melimpah ke stesen keretapi. Keadaan lalu lintas lancar namun
jalan ke dataran merdeka daripada arah masjid ditutup kepada lalulintas.
(MKINI)
No comments:
Post a Comment