Friday 4 January 2013

2 GADIS CARI KERJA DIHUKUM RM46,000?






Oleh : JOHN CHARLES MITAH MIKAT

TIADA siapa yang boleh melawan undang-undang kerana mercu tanda kemartabatan sesuatu bangsa di dalam sesebuah negara kerana semua orang harus tunduk, hormati dan patuhi kewujudan dan ketamadunannya. Tetapi janganlah pula undang-undang menghukum seseorang yang tidak bersalah, lalu meringkuk di penjara! Apa cerita...?

Pada 18 Disember 2012, bersamaan dengan hari Selasa, kira-kira jam 10:00 malam, dua orang ibu bersama 8 orang ahli keluarga mereka telah datang berjumpa dengan saya di rumah meminta nasihat dan memohon pertolongan kerana anak gadis mereka telah ditangkap polis.

Lebih malang lagi, Mahkamah telah menjatuhi hukuman denda sebanyak RM46,000 seorang atau 20 bulan penjara jika gagal membayarnya. Apapun, kedua-dua anak gadis ini sudah dijatuhi hukuman dan telah pun dibawa ke Penjara Kepayan, Kota Kinabalu pada 12.12.2012 untuk menjalankan hukuman.

Menurut cerita dua orang ibu ini, pada 27.07.2012, jumaat, dua anak gadis mereka ini mencari kerja di Pekan Kota Marudu dan telah diperkenalkan oleh seorang kawan (lelaki) yang mereka jumpa di Perhentian Bas; memberitahu kononnya ada kerja kosong di Kedai Cyber di Taman WTK Phase 2, Kota Marudu.

Kedua mereka pun pergi ke sana dan diterima bekerja dengan gaji RM800 sebulan. Baru dua jam sahaja mereka berkerja, lebih kurang jam 3:45 petang, polis tiba-tiba datang menyerbu di Pusat Cyber tempat mereka berkerja dan dua orang gadis ini telah ditangkap; kemudian direman untuk siasatan selama 5 hari dalam lokap IPD Kota Marudu.

Selepas itu, mereka pun dibebaskan atas jaminan polis. Mereka telah dipanggil polis sebanyak 4 kali iaitu: (1) pada 03.09.2012, (2) pada 10.10.2012, (3) pada 16.11.2012 dan (4) pada 10.12.2012 mereka telahpun dijatuhkan hukuman.

Pada 12.12.2012, dua orang gadis ini telah dibawa ke Kepayan, Kota Kinabalu untuk menjalankan hukuman mereka di sana. Oleh kerana mereka tidak dapat membayar denda sebanyak RM46,000, maka mereka terpaksa dipenjara selama 20 bulan.

Bayangkan, kalaulah anda sebagai Ibu kepada dua orang gadis ini, dari mana mahu cari wang sebanyak itu? Mereka adalah orang yang tidak berkemampuan, mereka adalah orang miskin. Sebab itulah anak-anak gadis mereka pergi mencari kerja dengan niat untuk membantu ibu mereka kerana hidup mereka sangat susah.

Malangnya mereka ditanggkap dan terpaksa pula membayar denda. Dalam situasi ini siapakah yang harus bertanggungjawab? Setelah mendengar keluhan dua orang Ibu ini, saya amat tersentuh sejurus itu pada 19.12.2012, (hari Rabu), saya terus menghubungi 'Khidmat Guaman' di White House, Kota Kinabalu dan langsung meminta bantuan agar anak gadis kepada dua orang Ibu yang malang ini dapat diberi pembelaan untuk memohon rayuan semula di Mahkamah dan selanjutnya diberi pertimbangkan atau dilepaskan dari pertuduhan ke atas mereka yang tidak munasabah.

Berikutan itu, pada 20.12.2012, (hari Khamis) saya telah berjumpa dengan Insp Mohd Zulkairi Mohd Yacob di pejabatnya di IPD Kota Marudu untuk meminta penjelasan darinya mengenai dengan dua orang gadis yang ditangkap oleh polis.

Apapun, setelah diberi penjelasan saya berpuas hati dan mengucapkan syabas kepada PDRM Kota Marudu kerana telah menjalankan tugas mereka dengan efisien. Rampasan mesin perjudian siber di Taman WTK Phase 2, Kota Marudu.

Dalam serbuan itu, 3 suspek (1 lelaki & 2 perempuan) dijatuhi hukuman denda RM46,000 seorang, tetapi gagal membayar denda dan dipenjara 20 bulan (denda tidak di bayar) adalah berkaitan.

Sebagai panduan, kepada sesiapa sahaja yang ingin mencari pekerjaan di luar sana perlu diingat agar jangan mudah terpedaya dengan pemberian gaji yang lumayan. Sebelum menerima sebarang pekerjaan, tanya dahulu apakah perniagaan tersebut mempunyai lesen atau tidak.

Kasihan kalau ada orang yang tertipu seperti Nadia dan Evelyn. Lihat sahaja apa yang sudah berlaku ke atas diri mereka. Tauke menghilang, pekerja pula yang terima bala. Kasihan betul! Apapun jangan salah tafsirkan kenyataan cerita di atas kerana ia berunsurkan atas dasar kebenaran.

Dalam senario ini siapakah yang harus bertanggungjawab? Adakah undang-undang? Atau Pemilik Kedai/Pemilik Perniagaan? Atau masyarakat? Ataupun Wakil Rakyat?

Kesimpulannya :

1. PDRM sekadar menjalankan tugas mereka bersesuaian dengan slogan "Tegas, Adill dan Berhemah."

2. Setelah tertuduh dibawa ke Mahkamah, PDRM tidak menghukum. Tetapi siapakah yang layak menghukum?

3. Apakah Wakil Rakyat tidak terlibat sama dalam soal aktiviti kemasyarakatan di Kawasan persekitarannya? Sama-samalah kita cetuskan idea di sini. Apapun jangan sesekali menuduh seseorang tanpa mempunyai fakta yang kukuh.

No comments:

Post a Comment