Tuesday 22 January 2013

AGENDA TERSEMBUNYI STAR






Oleh : LO_PHUNK

KONFLIK parti pembangkang di Sabah masih belum ada kesudahannya. Sama ada parti STAR mahupun PAKATAN, belum mempunyai persepakatan untuk seiring dan berganding bahu untuk menumbangkan regim UMNO yang semakin dibenci oleh rakyat Sabah.

Rata-rata semua yang saya jumpa menunjukkan sokongan kepada pembangkang dan menolak parti daripada Barisan Nasional. Sama ada golongan belia ataupun golongan yang sudah berumur, rata-rata mengatakan; "kasi rasa dulu ini kali diorang, pasal sangat selesa dengan kedudukan, sampai tidak mau tinguk di bawah".

Inilah kata-kata azimat mereka dan dendam kesumat yang terbuku di dada menunggu diletupkan dengan bom 'tomahawk' agar regim UMNO hancur berkecai.

Namun siapakah yang rakyat perlu sokong. Adakah STAR atau Pakatan Rakyat? Heboh diperkatakan bahawa Anuar Ibrahim enggan menandatangani 'Deklarasi Tambunan' semasa lawatan beliau ke Tambunan dahulu ketika Jeffrey Kitingan berada dalam PKR.

Jeffrey dan STAR sibuk mengatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak bagus dan ada agenda tersendiri dan tidak mahu mengembalikan autonomi rakyat Sabah. Jeffrey juga menyatakan bahawa Anuar Ibrahim tidak serius dalam membantu rakyat Sabah.

Namun pada hakikatnya tidaklah seperti yang dihebohkan oleh beliau. Anuar telah bersetuju dengan isi kandungan Deklarasi Tambunan namun apa yang berlaku, perlu dibincang dan ditandatangani oleh beberapa pihak yang berada dalam parti berkenaan.

Memandangkan hanya dia yang hadir pada ketika itu maka, beliau meminta isu tersebut ditangguhkan dulu. Kini apa yang berlaku adalah deklarasi ini telah ditandatangani di Sarawak dengan isi kandungan yang hampir sama, namun masih ingin mengembalikan autonomi negeri Sabah menerusi 'Deklarasi Kuching' yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh pemimpin tertinggi tiga gabungan parti dalam pakatan.

Jadi kita sudah jelas di sini bahawa Jeffrey sendiri yang ada agenda tersendiri untuk mengaburi mata rakyat dan memecah undi KDM. Bagaimana kita mempercayai perjuangan mereka ini jika perkara ini pun sudah menipu rakyat?

Bagaimana kita mahu mencapai misi untuk menumbangkan regim UMNO andainya kita berpihak kepada mereka yang sengaja mengaburi mata rakyat?

Keengganan mereka bekerjasama dengan pakatan juga adalah salah satu bukti bahawa mereka ini ada agenda tersendiri bagi memecah belahkan undi pembangkang.

Namun apa yang jelas, STAR ingin memperjuangkan autonomi Sabah dikembalikan seperti yang terkandung dalam Perkara 20 dan Perjanjian Malaysia 1963; sedangkan semuanya sudah ada dalam 'Deklarasi Kuching'. Jadi untuk apa mereka ingin bersendirian dan tidak membantu pakatan bagi menghapuskan UMNO di muka bumi Sabah?

No comments:

Post a Comment