Thursday 10 January 2013

AKAR UMBI GESA DAP PILIH SEMULA CEC






KUALA LUMPUR: Sepuluh pemimpin akar umbi DAP semalam menggesa kepimpinan tertinggi parti supaya mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) berikutan kesilapan dalam pengiraan undi pada pemilihan lalu.

Seorang pemimpin DAP dari Taman Chi Liung Indah, K. Yogasigamany yang mewakili kumpulan itu berkata pemilihan baharu akan memulihkan integriti dan keyakinan awam kepada DAP, satu daripada tiga parti dalam pakatan pembangkang.

“Jika tidak, persepsi orang ramai mengenai penipuan dan manipulasi dalam pemilihan DAP untuk meletakkan seorang Melayu sebagai anggota CEC yang dipilih, akan terus berpanjangan dan ini akan menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti parti.

“Kami bukan mengkritik parti, kami hanya menonjolkan mengenai sentimen dan prihatin mengenai isu itu. Kami mahu mencari jalan penyelesaian yang munasabah,” katanya kepada pemberita di sini.

Pada 3 Januari, kesilapan teknikal dilaporkan dalam penjadualan undi yang me-nimbulkan kontroversi dengan pelbagai pihak percaya bahawa pembetulan itu dibuat bagi membolehkan orang Melayu dipilih menganggotai CEC untuk menenangkan masyarakat Melayu.

Kontroversi itu timbul apabila DAP memperbetul kesilapan 19 hari selepas keputusan pemilihan CEC diumumkan pada 15 Disember dengan tiada seorang pun daripada lapan calon orang Melayu dipilih menganggotai CEC.

Pengerusi DAP Karpal Singh menyifatkan kemelut pemilihan parti itu sebagai sesuatu yang memalukan.

Kumpulan Yogasigamany, yang mendakwa menjadi suara akar umbi, berkata telefon mereka tidak berhenti-henti berdering sejak keputusan itu diumumkan berikutan anggota parti menelefon untuk bertanyakan perkara itu.

Yogasigamany berkata, anggota akar umbi membangkitkan pelbagai isu berhubung perkara itu, satu daripadanya ialah kenapa setiausaha agung DAP Lim Guan Eng tidak segera menggantung keputusan itu tetapi menunggu tiga minggu sebelum mengumumkan pindaan keputusan.

“Kenapa keputusan itu mengambil masa yang lama untuk diumumkan? Sejauh mana kelayakan pengarah pemilihan Pooi Weng Keong mengendali pemilihan,” soal beliau.

Beliau berkata jika ada kesilapan dalam penjadualan keputusan, kenapa hanya Vincent Wu dan Zairil Abdullah terjejas dan bagaimana mungkin bagi Zairil melonjak betul-betul pada kedudukan ke-20, dan secara automatik mendapat tempat dalam CEC.

Anggota akar umbi juga mempersoal bagaimana seorang anggota kanan parti dan Anggota Parlimen selama tujuh penggal, Tan Seng Giaw boleh kalah hanya dengan satu undi kepada Zairil yang menyertai parti hanya pada 2010.

Kepada satu soalan sama ada mereka bersedia berdepan tindakan kepimpinan tertinggi parti kerana membangkitkan perkara ini, Yogasigamany berkata mana-mana parti patut membenarkan anggota mereka untuk bersuara dan semua ini adalah mengenai apa itu demokrasi. (Bernama)

No comments:

Post a Comment