Thursday 17 January 2013

ANWAR TERLIBAT DALAM ‘PROJEK IC’?




Oleh : MD IZWAN

PETALING JAYA : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali dalam satu sidang media hari ini mendedahkan terdapat rancangan untuk mengaitkan dan melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam 'Projek IC' di Sabah dan mereka akan memantau prosiding Suruhanjaya Di Raja (RCI) yang sedang berlangsung ketika ini.

Azmin memberitahu banyak lagi kejutan yang akan terbongkar dalam RCI serta menyatakan beliau turut dimaklumkan bahawa terdapat rancangan mengheret pemimpin utama PKR dalam inkuiri tersebut.

“Dan saya juga mendapat maklumat dalaman bahawa matlamat akhir ialah mengaitkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua masalah dalam negara memang dibebankan kepada Ketua Umum dan kita sudah jangkakannya,” kata Azmin kepada media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya.

Menurut Azmin, segala kenyataan dan pendedahan oleh saksi dalam RCI bukan suatu yang mengejutkan dan Pakatan Rakyat (PR) sudah menjangkakan perkara yang akan berlaku.

“Pendedahan dan beberapa kejutan oleh saksi-saksi dalam Suruhanjaya baru-baru ini tidak mengejutkan,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Azmin bertegas setakat ini pendedahan yang dalam RCI sudah jelas menunjukkan penglibatan secara langsung mantan Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memberikan arahan pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang haram di negeri Sabah pada 1994.

“Sepanjang RCI, kita lihat keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi melibatkan institusi seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Pendaftaran Negara dan Imigresen yang mana semua ini adalah dibawah pentadbiran Dr Mahathir bukannya Anwar.

“Sekali lagi saya ingin tegaskan disini, segala arahan daripada institusi terbabit adalah dibawah pentadbiran Dr Mahathir,” tegas ahli parlimen Gombak tersebut lagi.

Beliau turut memberitahu 'Projek IC' tersebut adalah dikendalikan oleh Dr Mahathir dan menyelar mantan PM tersebut sebagai seorang pengkhianat dan harus bertanggungjawab atas tindakan tersebut.

“Dr Mahathir perlu bertanggungjawab,” kecam Azmin.

Semalam, keterangan saksi bekas timbalan pengarah JPN Mohd Nasir Sugip mendedahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar nama 16,000 pendatang haram di Sabah dan untuk memberikan mereka kad pengenalan (IC).

Bekas pegawai JPN, Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil juga turut mendedahkan kira-kira 100,000 kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada tahun 1993.

Malahan, bekas pengarah JPN Sabah Ramli Kamarudin juga menuduh arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.

Pada tahun 1993-1994, Anwar ketika itu berkhidmat bersama kerajaan Umno-Barisan Nasional memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat pada tahun 1998 atas tuduhan skandal seks dan rasuah.

Dr Mahathir, perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui 'Projek IC', di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 hingga 1985, menafikan kewujudan 'Projek IC' tersebut. (TMI)

No comments:

Post a Comment