Monday 21 January 2013

BELIA PAKSI SABAH MAJU JAYA







MENGIBAR....Musa dan ahli-ahli Parti mengibarkan Bendera BN sewaktu Asmin menyanyikan lagu Membakar Semangat

Oleh : SAIMON S JUMADI

KETUA  Menteri  Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, menegaskan kerajaan tidak pernah bersikap pilih kasih dalam soal membantu rakyat, apatah lagi yang melibatkan keperluan golongan belia di negeri ini.

Menurut beliau, setiap apa jua bentuk keperluan akan disalurkan secara sama rata asalkan golongan tersebut tidak mempersia-sia setiap peluang yang disediakan pihak kerajaan.

Ini katanya, sudah menjadi prinsip perjuangan Barisan Nasional (BN) yang diberikan mandat oleh rakyat sentiasa berusaha menyalurkan pembangunan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, agama mahu pun fahaman politik masing-masing.

"Apalagi keperluan yang melibatkan golongan belia ... kita sentiasa membantu dan tidak pernah pilih kasih kerana apa yang lebih penting ialah mereka rajin dan sentiasa merebut peluang yang disediakan," jelasnya sewaktu berucap pada Majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri di Dewan Serbaguna Sri Libaran, dekat sini, petang kelmarin.

Beliau berkata, bak pepatah 'Usaha Tangga Kejayaan' bermakna setiap usaha yang dilakukan pastinya membawa kejayaan sekiranya seseorang sentiasa berusaha dan tidak menoleh ke belakang.

Katanya, kejayaan pemimpin mahu pun individu terdahulu adalah disebabkan sikap ingin maju sudah tertanam dalam diri mereka memandangkan untuk mencapai kemajuan bukanlah satu perkara mudah.

"Ramai yang sudah maju dalam setiap bidang terutama bidang-bidang perniagaan di mana prinsip hidup seperti itu boleh dijadikan sebagai panduan untuk berjaya.

"Mungkin anda boleh berkongsi sedikit tentang kisah hidup saya pada waktu muda untuk dijadikan sebagai satu ikhtibar. Segala-galanya bermula di Sandakan dalam tahun 1972 apabila saya memulakan perniagaan yang dipanggil memunggah kayu ke atas kapal.

"Perniagaan yang saya jalankan memerlukan kesabaran kerana pada ketika itu bandar Sandakan dikenali sebagai 'Mini Hong Kong' kerana ditimbuni kayu balak.

"Bagaimanapun, berkat kesabaran, saya akhirnya mempunyai kapal sendiri dan dapat memperluaskan perniagaan yang membolehkan saya terus berjaya sehinggalah ke hari ini," katanya sambil diberikan tepukan gemuruh.

Bertitik tolak dari itu, Musa berkata kerajaan BN yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat terutama golongan belia sudah pasti peluang terbuka dengan seluas-luasnya.

Begitu pun, ujarnya, kejayaan tidak akan datang bergolek kerana ia memerlukan kesungguhan selain tabah menghadapi apa jua cabaran berikutan untuk maju pasti berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Kita sediakan macam-macam peluang untuk memastikan generasi muda mempunyai kemahiran diri menerusi kursus-kursus yang anda minati.

"Yang penting anda sentiasa berazam sebab kerajaan BN sentiasa ikhlas membantu menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif selari dengan Tranformasi Kerajaan ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat," jelasnya. 

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata semangat gelombang biru BN pasti membawa kemenangan kepada BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Namun demikian, katanya, ahli-ahli parti jangan terlalu mudah berpuas hati kerana apa yang lebih mustahak gerakan jentera parti perlu dimantapkan sekali gus tidak memberi peluang kepada pembangkang.

"Jentera parti perlu diperkukuhkan sekarang untuk menghadapi PRU-13. Kekuatan di peringkat akar umbi tentu tidak memberi masalah kepada parti.

"Sebab itu, saya sudah mengarahkan agar setiap ahli parti tanpa mengira apa pun jawatan agar memastikan jentera sentiasa siap siaga bagi memastikan kekuatan tidak mudah digugat.

"Kemenangan BN pada pilihanraya kali ini penting demi kesinambungan pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan. Justeru, rakyat perlu matang dan jangan mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah dari kumpulan pembangkang," tambah beliau.

Majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri itu meriah dengan pelbagai program antaranya persembahan nyanyian dari selebriti-selebriti terkemuka di Sabah antaranya artis Ampal @ Abu Bakar Ellah; Jainrywen Liusin; Ebi AF dan Asmin Mudin di samping tarian etnik termasuk juga gerai-gerai yang menyediakan pelbagai hidangan menyelerakan.

No comments:

Post a Comment