KUALA LUMPUR : Semua pihak
perlu meneliti keseluruhan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap
masalah pendatang tanpa izin di Sabah sebelum membuat sebarang kesimpulan, kata
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata semua pihak
tidak boleh membuat kesimpulan awal dengan hanya mendengar keterangan saksi
yang telah memberi kenyataan dalam RCI.
Beliau berkata sehingga kini
terdapat 160 orang lagi saksi yang belum memberi keterangan dan kredibiliti
setiap saksi juga perlu dinilai.
"Justeru, penilaian
perlu dibuat secara menyeluruh. Jangan polemikkan sesuatu tanpa mendapat
pengesahan terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis
menandatangani perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Korea Selatan, di sini
hari Khamis.
Perjanjian itu
ditandatangani Hishammuddin dan Menteri Kehakiman Korea Selatan Kwon Jae Jin.
Isnin lalu, RCI memulakan
pendengaran awam di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah yang dianggotai lima
ahli panel dan diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim
Lip Kiong.
Terma penyiasatan RCI antara
lain ialah jumlah pendatang di Sabah yang telah mendapat kad pengenalan biru
atau kewarganegaraan, sama ada pengeluaran kad pengenalan atau kewarganegaraan
di Sabah adalah selaras mengikut undang-undang, sama ada pendatang yang
memiliki kad pengenalan biru atau resit pengenalan sementara (biru) kewarganegaraan
secara tidak mengikut undang-undang didaftarkan sebagai pengundi, dan
sebab-sebab peningkatan jumlah penduduk Sabah. (Bernama)
No comments:
Post a Comment