Friday 18 January 2013

BN JUJUR SELESAIKAN ISU PATI DI SABAH



 



KUALA LUMPUR : Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah merupakan manifestasi jelas membuktikan keikhlasan Barisan Nasional (BN) menyelesaikan masalah itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN berkata RCI perlu dilihat secara positif dan kredit harus diberikan kepada BN atas usaha tersebut.

"Kita tidak boleh melihat hasil berdasarkan seorang saksi. Terdapat seramai 167 saksi yang akan dipanggil. Oleh itu, jangan kita membuat kesimpulan. Biarkan prosiding dijalankan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam Khamis.

Najib berkata memberi kerakyatan asalkan mengikut undang-undang bukan satu kesalahan, malah banyak negara lain juga memberikan kewarganegaraan.

"Jangan beritahu saya anda tidak tahu, anda tahu. Biarlah Suruhanjaya menjalankan kerja dan menyelesaikannya," katanya ketika diminta mengulas mengenai RCI dan pendatang asing tanpa izin di Sabah. Ditanya sekiranya, RCI akan menjejaskan pilihan raya umum akan datang, Najib berkata: "Selagi rakyat tidak putar belitkan dengan cara yang salah,"

"Sila terima RCI sebagai usaha ikhlas untuk menyelesaikan masalah ini yang menjadi kebimbangan ramai rakyat Sabah. Kami telah memutuskan untuk menyelesaikan masalah ini.

"Permintaan terhadap RCI telah dibuat parti komponen BN di Sabah dan sebagai pengerusi BN, saya menghormati permintaan itu," tambah Perdana Menteri.

Isnin lalu, RCI memulakan pendengaran awam pertamanya di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah sehingga esok.

Prosiding seterusnya akan diadakan pada 28 Jan hingga 1 Feb dan mulai 22 Feb hingga 27 Feb. (Bernama)

No comments:

Post a Comment