Friday 18 January 2013

BN PATUT DAPAT KREDIT KERANA TUBUH RCI






Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Pemberian kad pengenalan kepada warga asing boleh dilaksanakan asalkan ianya melalui proses perundangan yang sah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri itu turut berkata kredit juga seharusnya diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya kerana bersedia untuk melaksanakan Inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.

"Selagi kita beri IC mengikut undang-undang tiada masalah. Masyarakat Cina dan India juga dapat kerakyatan semasa zaman British dahulu, selagi ia berdasarkan undang-undang, ia tak salah, itu bukan isu besar," kata Najib kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) lewat malam tadi.

Jelas Pengerusi BN itu juga, pelaksanaan RCI di Sabah itu adalah manifestasi ikhlas kerajaan BN untuk menyelesaikan isu yang telah membelenggu penduduk Sabah sejak sekian lama.

"Penubuhan RCI adalah manifestasi keikhlasan kami untuk selesaikan perkara itu ... Patut beri kredit kepada BN, ia perlu dilihat secara positif," kata Presiden Umno itu lagi.

Jelas Najib, rakyat tidak seharusnya menilai perkara itu terlalu awal memandangkan masih ramai saksi yang belum tampil, dan RCI itu juga masih lagi membuat sebarang keputusan.

"Ada 167 saksi yang akan dipanggil, kita tak boleh terus buat keputusan, biarkan ia (RCI) itu berjalan dahulu.

"Biarkan suruhanjaya jalankan kerja mereka ... Selagi ia tidak ditafsir secara salah, ia adalah cubaan ikhlas kami untuk selesaikan isu rakyat Sabah," katanya, dan menambah RCI itu juga dilaksanakan atas permintaan daripada BN Sabah.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan pemberian status warganegara kepada warga asing di Sabah dan menegaskan ia dilakukan kerana mereka berhak dan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

Dr Mahathir berkata selagi seseorang individu tersebut memenuhi syarat seperti fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan menetap di Malaysia mereka berhak untuk mendapat status sebagai rakyat Malaysia.

"Kerajaan menerima warga asing jadi warganegara jika memenuhi syarat tertentu, malahan mereka yang berada disana bukan satu dua hari tetapi sudah 20-30 tahun dan mereka bercakap bahasa Melayu berhak jadi rakyat Malaysia," kata bekas Perdana Menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun itu.

Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas berkenaan kenyataan saksi RCI berkenaan pendatang haram yang mengatakan pentadbirannya terlibat dalam pemberikan kad pengenalan di Sabah pada 1993-1994.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat pihak yang tidak senang dengan langkah pemberian kewarganegaraan tersebut tetapi menyatakan langkah tersebut dilakukan mengikut undang-undang.

"Saya akui saya bagi (kewarganegaraan), di zaman pentadbiran saya ada diberikan," tambah Mahathir.

Dr Mahathir yang masih berpengaruh itu juga berkata bahawa beliau tidak menyedari sepertimana yang didedahkan oleh seorang saksi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam yang mendakwa Tan Sri Megat Junid Megat Ayub memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.

Beliau turut menyatakan walaupun warga asing ini diberikan kerakyatan sebagai warganegara ia tidak menjadi kesalahan kerana mereka juga perlu mematuhi semua undang-undang negara serta menambah pentadbirannya tidak pernah memaksa mereka untuk mengundi kerajaan Barisan Nasional semasa pilihan raya.

"Ia bukan masalah besar, lagipun mereka yang dapat warganegara ini masih lagi perlu mengikut undang-undang negara.

"Tidak, tidak benar. Mereka boleh mengundi sesiapa sahaja, itu adalah hak mereka dan kerajaan tidak pernah paksa mereka untuk mengundi," terang beliau lagi.

Semalam, keterangan saksi bekas timbalan pengarah JPN Mohd Nasir Sugip mendedahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengarahkan JPN menukar nama 16,000 pendatang haram di Sabah dan untuk memberikan mereka kad pengenalan (IC).

Bekas pegawai JPN, Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil turut mendedahkan kira-kira 100,000 kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada tahun 1993.

Malahan, bekas pengarah JPN Sabah Ramli Kamarudin juga menuduh arwah Megat Junid memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.

Mahathir merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui "Projek IC", di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke1985, menafikan kewujudan "Projek IC" tersebut.

Pilihan raya negeri Sabah 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan undangan negeri.

Akan tetapi tidak lama selepas itu beberapa ahli dewan undangan negeri PBS menyertai Barisan Nasional (BN) menyebabkan kerajaan PBS jatuh.

No comments:

Post a Comment