MENCARI.....Operasi
mencari dan menyelamat mangsa melibatkan pihak Bomba dan Penyelamat, APMM, PPM,
JPAM, para pengendali bot penumpang, nelayan dan rakan-rakan mangsa.
Oleh : AMIR ANUAR
TAWAU: Seorang buruh
dikhuatiri mati lemas selepas bertindak nekad terjun ke laut sekitar jam 11.30
pagi kelmarin bagi mengelak ditahan semasa Jabatan Imigresen menjalankan
pemeriksaan mengejut di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)
di sini.
Menurut rakan sekerjanya
yang ditemui tetapi enggan dikenali, mangsa difahamkan dikenali sebagai Kahar
Koko, 37, lelaki warga Indonesia dan telah bekerja sebagai buruh sampingan di
CIQ selama hampir 10 tahun.
Difahamkan, sebelum insiden
itu berlaku mangsa bersama enam lagi rakannya menyorokkan diri di belakang
sebuah feri penumpang ke Tarakan, namun mangsa dan rakan-rakannya bertindak
terjun ke perairan Sabindo apabila anggota Imigresen menghampiri mereka.
Salah seorang rakannya
difahamkan sempat ditahan oleh pihak Imigresen sebelum sempat terjun, manakala
lima lagi dapat menyelamatkan diri, sementara mangsa pula yang dipercayai
berenang sambil membawa sebuah beg dilihat dalam keadaan lemah dan lemas di
laut.
Mangsa dikatakan sempat
melambaikan tangan dan timbul tenggelam sebanyak tiga kali sebelum kelibatnya
langsung tidak kelihatan dalam insiden itu, dan usaha menyelamatkannya masih
lagi giat dijalankan (mangsa belum ditemui sehingga jam 5 petang kelmarin).
Salah seorang rakan sekerja
mangsa yang turut menyelam membantu mencari lelaki terbabit, Jefrie Abd Salam,
22, berkata beliau sempat memegang kaki mangsa namun tidak berjaya menariknya
ke permukaan laut kerana arus laut yang deras.
“Saya cuba menyelam sekali
lagi menggunakan tali dan sauh yang dihulurkan oleh pihak bomba, tapi malangnya
saya tidak berjaya menemui kelibat mangsa apabila menyelam sekali lagi,”
katanya sambil menambah, keadaan dasar laut yang gelap menyukarkan lagi
usahanya.
Ketua Balai Bomba dan
Penyelamat Daerah Tawau, Rudy Fredzek berkata pihaknya menerima panggilan pada
jam 11.44 pagi serta memulakan gerakan mencari mangsa pada jam 11.57 pagi
dengan kekuatan sembilan anggota dan seorang penyelam.
“Buat masa ini, kerja-kerja
mencari mangsa berhadapan sedikit kesukaran kerana keadaan laut sedikit
bergelora ataupun beralun dan di dasarnya pula arus laut agak deras,” katanya
yang turut mendedahkan bahawa pihaknya menggunakan kaedah selaman di permukaan.
Mengulas lanjut, Rudy tidak
menolak kemungkinan mangsa telah dihanyutkan ke lokasi lain oleh arus laut,
bagaimanapun pihaknya akan menumpukan di lokasi awal mangsa dilaporkan hilang
iaitu di sekitar perairan berhampiran CIQ dan Pasar Ikan Tawau.
Selain bomba, usaha mencari
dan menyelamat Kahar turut dijalankan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia
(APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),
para pengendali bot penumpang, nelayan dan rakan-rakan mangsa. (UB)
No comments:
Post a Comment