Monday 7 January 2013

DARI JAGUH SUKAN JADI 'PENIPU' BESAR?




WASPADA...Justin (kiri) bersama seorang peminat dalam satu majlis, berlagak seorang wira sukan namun tanpa disedari menjadi seorang penipu besar.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

MANTAN jaguh bina badan, Justin Sompong didakwa melakukan banyak penipuan kepada pesakit di Kota Belud dan Kuala Penyu kerana memperdaya mereka dengan mengambil duit sebagai upah kononnya untuk mengubati penyakit mereka.

Paling ramai mangsa adalah di Kota Belud menyebabkan dia terpaksa meninggalkan daerah kelahirannya itu untuk berpindah ke daerah Papar gara-gara mangsa yang terlibat sering memburunya.

Dia mengambil duit hinga mencecah ribuan ringgit terlebih dahulu dengan hanya memberi sedikit ubat dalam bentuk pil dan berjanji untuk memberi yang lain kemudian serta juga berjanji menyediakan mesin rawatan untuk mereka.

Apabila mengambil duit tersebut, Justin yang mendakwa memiliki ubat yang diperolehi dari luar negara terus menghilang diri dan tidak lagi kembali kepada pesakit yang dijanjikan.

Justin ketika ditemui semasa melawat seorang pesakit baru-baru ini mengakui dia memiliki ubat-ubatan dari luar negara yang mampu merawat pesakit dalam tempoh yang singkat.




"Saya bukan bomoh seperti yang disangkan ramai orang, tetapi saya ada ubat bernilai tinggi dan tidak boleh diperolehi di farmasi dan mampu mengubati penyakit-penyakit tertentu," katanya.

Katanya lagi, ada juga pesakit selain memerlukan ubat, tetapi juga memerlukan mesin bantu untuk memulihkan mereka dan ia perlu dipesan dari luar Sabah.

Bagaimanapun berdasarkan penyiasatan yang dilakukan terhadap beberapa mangsa, ubat-ubat yang dimiliki Justin sebenarnya ada dijual di farmasi; tetapi penggunaannya bergantung atas nasihat pegawai-pegawai perubatan yang bertauliah.

Seorang mangsa yang memperkenalkan dirinya Mr. Tay, mengakui pernah mendapatkan ubat daripada Justin untuk tujuan mengubati sakit di badan dan tangan yang selalu kebas dengan memberi bayaran pendahuluan RM900.

"Dia hanya beri ubat dalam sekitar 20 biji pil dan berjanji akan kembali memberi lagi dalam masa dua minggu tetapi selepas itu dia tidak muncul lagi dan saya rasa dia telah menipu saya," katanya yang merahsiakan perkara itu daripada anak-anaknya.

Beritahunya lagi, bukan sahaja dia yang mengalami nasib itu, malah ramai lagi yang telah menjadi mangsa penipuan seperti itu di beberapa tempat; terutama di Kota Belud dan akhir-akhir ini pesakit di Kuala Penyu.

Mr. Tay berkata, duit yang dia gunakan hasil sumbangan seorang kawan, tetapi bukan pula dapat berubat sebaliknya menjadi mangsa penipuan.

Beliau menasihat orang ramai jangan terpedaya dengan perangkap Justin yang menggunakan pusat-pusat gym miliknya untuk memperdayakan orang ramai untuk menjaga kesihatan mereka.

"Bukan kesihatan yang mereka dapat, sebaliknya duit mereka akan lesap jika tidak berhati-hati dengan perangkap yang dilakukan Justin," katanya yang juga meminta pihak polis melakukan siasatan terhadap jaguh bina badan itu kerana ramai sudah yang telah menjadi mangsanya.

Polis boleh menyamar dengan menggunakan pesakit tertentu untuk menyiasat beliau kerana agak sukar mangsa membuat laporan polis sebab dia tidak menggunakan sebarang resit selepas pembayaran dalam operasi yang dia lakukan.

Seorang lagi mangsa kakitangan awam telah diperdaya Justin sebanyak RM1000, selepas memberi beberapa biji pil ubat dia berjanji menyediakan mesin untuk dia menjalankan latihan menggerakkan tangan, namun mesin yang dijanjikan itu tidak pernah dihantar kepadanya.

"Saya tertipu kerana berfikir dia ini orang yang dikenali ramai, takkan mahu tipu orang. Rupanya penipu besar dengan berselindung di sebalik namanya. Saya dengar ramai orang mencarinya tapi dia terus mengelak, ada masa dia akan terkena," jelasnya.

Pada masa lalu, Justin bersama seorang peninju yang juga adik kepada seorang Timbalan Ketua Menteri Sabah pernah mencetuskan pergaduhan dengan tentera yang bertugas di sini; sehingga menyebabkan kedua-dua mereka terpaksa dihantar ke Amerika Syarikat bagi mengelak situasi yang tidak terkawal.

Pemergian mereka itu diatur oleh seorang VIP atas saranan pihak atasan dengan alasan untuk menghantar mereka melajutkan pelajaran di sana, rekod mereka dipercayai ada di Kementerian Dalam Negeri.

Berdasarkan ini, Justin ini boleh disifatkan sebagai individu berbahaya dan pihak berkuasa keselamatan harus menyiasat tindak-tanduknya yang sekarang ini menjadikan orang biasa sebagai mangsa. Perbuatan lampaunya dan dengan apa yang berlaku sekarang sangat jelas dia adalah petualang yang perlu menerima tindakan yang setimpal.

No comments:

Post a Comment