Monday 21 January 2013

DOUGLAS LIND NAFI LOBI CALON






 Oleh: JACOB BALANG

TENOM: Mantan Setiausaha Politik di era kerajaan Parti Berjaya, Datuk Douglas Lind, ketika ditemui di sini pada Sabtu tidak membayangkan kunjungannya itu ada kaitan dengan politik, khususnya untuk melobi sokongan daripada akar umbi seperti mana desas-desus diperkatakan di kalangan pemerhati politik tempatan di sini.

“Saya datang ke sini bersama beberapa kawan sekadar mahu berjumpa kawan-kawan lama sambil melihat kemajuan dan keindahan di sini,” kata Douglas yang juga merupakan orang kanan Mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh sekitar tahun 1980-an.

Douglas yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lepas (2012) setelah meninggalkan Umno bersama dengan beberapa tokoh lain untuk beralih sokongan kepada pembangkang bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum kali-13 (PRU13) akan datang ini.

Ditanya sama ada beliau kemungkinan akan dicalonkan untuk bertanding Parlimen Tenom pada PRU-13 atas tiket Pakatan Rakyat (PR) seperti mana khabar angin mengenainya semakin panas beliau berkata;

"Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan siapa yang bakal dicalonkan (dan)...soal siapa yang dicalonkan kita akan beri sokongan dan komitmen seratus peratus...no back stabbing.

“Namun demikian, kalau boleh kita perlu adakan perundingan dengan semua parti pembangkang supaya formula satu lawan satu dapat direalisasikan. Jika tidak kita (pembangkang) pasti akan kecundang,“ tegasnya.

Dalam pada itu, Douglas turut menafikan khabar angin yang mengatakan beliau kini sedang dalam usaha untuk melobi pucuk pimpinan supaya dicalonkan dikawasan Parlimen Tenom adalah tidak benar kerana beliau tetap menghormati prinsip parti dan juga tidak mahu mengkhianati kuasa yang ada pada Ketua Cabang PKR Tenom.

Sejak akhir-akhir ini, kawasan Parlimen Tenom (jumlah pengundi kira kira 22,000) menjadi teka teki siapakah bakal diberi mandat oleh pucuk pimpinan untuk menentukan bakal calon pembangkang, khususnya PR yang merangkumi DAP, PKR, PAS atau APS sebuah NGO di bawah naungan PKR.

Sebelum ini, APS diwar-warkan bakal meletakkan seorang doktor perubatan untuk dicalunkan untuk bertanding kawasan Parlimen Tenom; manakala PKR belum memberi apa bayangan berhubung perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment