Friday 18 January 2013

DR M JADIKAN TUNKU ESCAPISM






KUALA LUMPUR : Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan pemberian kad pengenalan kepada warga Sabah sama seperti pemberian kerakyatan pada zaman Tunku Abdul Rahman adalah percubaan mengaburi pandangan orang ramai, kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Azmin mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir yang menyamakan tindakan beliau memberi kad pengenalan kepada warga asing sama seperti  dilakukan oleh perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Al-Haj yang memberikan kad pengenalan kepada satu juta warga asing semasa negara mula mencapai kemerdekaan.

Percubaan Dr. Mahathir untuk mengheret Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman, dalam kekotoran ini adalah keji dan hina apabila beliau cuba untuk mengaburi pandangan rakyat dengan menyamakan penipuan kad pengenalan yang dikendalikan dalam keadaan tersembunyi semasa beliau memegang tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri dengan pemberian kewarganegaraan di semenanjung Malaysia semasa era Tunku.

 “Beliau berterusan menghina akal kita dengan menganggap bahawa rakyat tidak berupaya untuk membezakan antara operasi gelap yang diselubungi rahsia yang sememangnya suatu jenayah dengan perkara yang berlaku dengan keputusan secara kolektif semasa pembentukan sejarah kemerdekaan kita.

“Maka, yang kedua itu bukanlah subjek siasatan sepertimana projek kad pengenalan tersebut. Oleh itu Dr. Mahathir harus hentikan sikap berdolak-dalih beliau yang mengalih tumpuan kita terhadap isu utama,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azmin lagi, kenyataan terkini oleh Tun Dr Mahathir Mohammad untuk membersihkan dirinya sebagai angkuh, tidak menyesal dan manipulator sejarah yang tidak bertanggungjawab.

“Projek haram ini berlaku hanya dua minggu sebelum Plihan Raya Umum 1994 dan Dr Mahathir harus berhenti berpura-pura yang beliau tidak mampu melihat kaitannya dengan konklusi yang jelas bahawa wujud skim kewarganegaraan untuk undi,” kata Azmin lagi.

Menurut Azmin, tidak mungkin setiausaha politik Dr Mahathir Tan Sri Aziz Shamsuddin dan timbalan menteri dalam negeri arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub mampu melaksanakan penipuan yang sebegitu rapi tanpa arahannya.

“Saya tetap dengan seruan saya bahawa Dr. Mahathir harus disiasat atas dakwaan mengkhianati rakyat dan negara dengan menjual kedaulatan kita dengan mengizinkan skim keji ini hanya untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional kekal di Sabah,” kata Azmin lagi.

Semalam, bekas perdana menteri itu mempertahankan pemberian status warganegara kepada warga asing di Sabah dan menegaskan ia dilakukan kerana mereka berhak selain mengikut lunas undang-undang.

“Kerajaan menerima warga asing jadi warganegara jika memenuhi syarat tertentu, malahan mereka yang berada di sana bukan satu dua hari tetapi sudah 20-30 tahun dan mereka bercakap bahasa Melayu, berhak jadi rakyat Malaysia,” kata Mahathir semasa memberi maklum balas terhadap kenyataan saksi inkuiri Suruhanjaya Di Raja (RCI) berkenaan pendatang haram yang mengatakan pentadbirannya terlibat dalam pemberikan kad pengenalan di Sabah pada 1993-1994.

Rabu lalu, keterangan saksi bekas timbalan pengarah JPN Mohd Nasir Sugip mendedahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengarahkan JPN menukar nama 16,000 pendatang haram di Sabah dan memberikan mereka kad pengenalan (IC).

Bekas pegawai JPN, Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil turut mendedahkan kira-kira 100,000 kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada tahun 1993.

Malahan, bekas pengarah JPN Sabah Ramli Kamarudin juga menuduh arwah Megat Junid memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit  bagi membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.

Mahathir yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat — dari 1981-2003 — telah dituduh menerajui “Projek IC”, di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke1985, menafikan kewujudan “Projek IC” tersebut.

Pilihan raya negeri Sabah 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan undangan negeri.

Namun begitu tidak lama selepas itu beberapa ahli dewan undangan negeri PBS menyertai Barisan Nasional (BN) menyebabkan kerajaan PBS jatuh. (TMI)

No comments:

Post a Comment