Tuesday 8 January 2013

DUA MANGSA LEMAS BELUM DITEMUI






MENCARI......Operasi pencarian oleh kakitangan JPAM dan unit berudara di perairan Pantai Dalit kelmarin.

Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

TUARAN: “Dia merupakan anak yang baik, saya amat sedih kejadian ini menimpanya namun kami sekeluarga percaya tuhan lebih menyayanginya,” rintih Datu Enyong mengenang nasib anaknya Datu Almuraz, 21, yang hilang dan dipercayai lemas ketika mandi manda di Pantai Dalit, kelmarin.

Turut dilaporkan hilang anak saudara Almuraz, Arjibra Zulkipli, 21, yang merupakan seorang juruteknik  elektrikal dipercayai lemas ketika mandi bersama lima lagi rakan pada Ahad lepas.

Lebih menyedihkan, Almuraz yang merupakan seorang pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi Shah Alam, Selangor dikatakan akan pulang menyambung pelajarannya pada minggu hadapan.

Sementara itu, Enyong berharap anak kandung serta cucu saudaranya akan ditemui secepat mungkin memandangkan tiada tanda-tanda penemuan kedua-dua mangsa meskipun operasi menyelamat oleh pihak berkuasa terpaksa ditamatkan sehingga 7 petang kelmarin.

“Kami sekeluarga amat berharap agar mereka akan ditemui walau bagaimanapun keadaannya dan terus berusaha melakukan usaha pencarian,” katanya yang turut menyertai operasi mencari dengan menyelam di perairan berkenaan bersama beberapa penduduk lain.

Turut berada di lokasi kejadian sejak petang Ahad lepas termasuklah termasuk ayah kepada Aljibra, Zulkipli Mohamad, 49, yang menunggu berita mengenai mangsa.

Malah khidmat seorang bomoh dari Kota Belud turut digunakan yang secara sukarela sanggup menawarkan pertolongan bagi membantu misi mencari kedua-dua mangsa.

Zulkipli memberitahu dia hanya mengetahui kejadian itu setelah pulang dari kenduri kesyukuran rakannya selepas dimaklumkan oleh jirannya.

“Sebagaimana keluarga yang lain, saya amat berharap anak kami akan ditemui,” katanya sugul sambil menegaskan kedua-dua mangsa sangat rapat antara satu lain.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superitendan Zaharudin Rasip berkata dalam insiden pada jam 4.30 petang itu, kedua-dua mangsa bersama lima lagi rakan lain difahamkan pergi ke pantai berkenaan untuk bermandi manda.

Katanya, mangsa dipercayai dibawa ombak deras dan hilang di pantai itu petang semalam, dan gagal diselamatkan oleh rakan yang mandi bersama mangsa.

Menurutnya, sebaik menerima laporan, pihak Polis Marin negeri bersama pasukan penyelamat lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melakukan operasi menyelamat mangsa, tetapi terpaksa ditangguhkan pada jam 7.30 malam semalam kerana cuaca gelap.

“Operasi mencari mangsa diteruskan pada hari ini dengan menggandakan kaedah pencarian menggunakan sebuah kapal terbang kecil jenis Pilatus dari Unit Udara Polis Diraja Malaysia dan sebuah jet ski,” katanya yang ditemui di lokasi pencarian di Pantai Dalit, di sini kelmarin.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang berasal dari Telipok, dekat sini, datang bermandi manda di pantai berkenaan bersama lima ahli keluarga yang lain kira-kira jam 12 tengahari.

Mengulas lanjut, Zaharudin berkata operasi menyelamat yang diteruskan pada pagi ini menyaksikan PDRM mengerahkan 18 anggota, manakala JPAM 12 orang dan JBPM 20 orang.

Katanya, jika operasi menyelamat pada hari ini yang bakal berakhir jam 7 malam gagal menemui mangsa, ia akan disambung pada pagi esok. (UB)

No comments:

Post a Comment